CYBERJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa beliau telah mengadakan perbualan telefon secara berasingan dengan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, susulan perbincangan terdahulu beliau dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump serta ketegangan yang berterusan di sempadan kedua-dua negara itu.
Menurut Anwar, Malaysia menyuarakan kebimbangan serius terhadap perkembangan terkini dan menggesa Thailand serta Kemboja agar menghentikan segala bentuk permusuhan serta tidak melakukan sebarang tindakan ketenteraan lanjut, termasuk penggunaan kekerasan atau penggerakan pasukan bersenjata ke barisan hadapan.
Gesaan tersebut berkuat kuasa mulai jam 10.00 malam, 13 Disember 2025 (UTC+7), sebagai langkah awal ke arah penyaheskalasian konflik dan pemulihan kestabilan serantau.
Bagi menyokong usaha meredakan ketegangan dan meningkatkan tahap ketelusan, Anwar berkata Malaysia telah meminta penugasan Pasukan Pemerhati ASEAN (ASEAN Observer Team – AOT) yang akan diketuai oleh Panglima Angkatan Tentera Malaysia bagi memantau situasi di lapangan.
Misi pemerhatian itu turut disokong oleh pemantauan satelit yang disediakan oleh Kerajaan Amerika Syarikat, bermula pada waktu yang sama.
Menurut Perdana Menteri, dapatan daripada pemantauan lapangan dan satelit tersebut akan dikumpulkan oleh AOT dan dibentangkan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN yang dijadual berlangsung pada Selasa, 16 Disember.
Beliau berkata laporan itu akan memberikan gambaran objektif mengenai situasi semasa, termasuk kedudukan kedua-dua pihak, demi memastikan akauntabiliti, pembinaan keyakinan serta pemeliharaan keamanan dan kestabilan serantau.
Anwar menegaskan bahawa Malaysia kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan rakan-rakan ASEAN dan komuniti antarabangsa bagi memastikan dialog, sikap bertenang dan diplomasi terus menjadi landasan utama dalam menangani konflik serantau.



