Sijil UEC Tawar Nilai Akademik Tinggi, Wajar Diiktiraf Demi Bakat Negara – DAPSY

CYBERJAYA: Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Kebangsaan menyeru semua parti politik agar menjadikan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) sebagai satu konsensus nasional, berlandaskan nilai akademik tinggi sijil berkenaan serta peranannya dalam melahirkan bakat untuk pembangunan negara.

Ketua DAPSY Kebangsaan, YB Woo Kah Leong berkata, DAPSY menyatakan sokongan penuh terhadap iltizam Kerajaan Perpaduan untuk melaksanakan segala usaha bagi mengiktiraf Sijil UEC, yang disifatkan sebagai aset penting dalam sistem pendidikan pelbagai aliran di Malaysia.

Menurut beliau, Sijil UEC bukan sahaja mempunyai reputasi akademik yang kukuh, malah telah mendapat pengiktirafan meluas di peringkat antarabangsa dan diterima oleh ratusan universiti di seluruh dunia termasuk di Amerika Syarikat, United Kingdom, Kanada, Australia, New Zealand, Singapura dan Jepun.

“Pengiktirafan Sijil UEC harus berpaksikan pertimbangan akademik dan tidak terus dibelenggu polemik politik atau disalahertikan sebagai bercanggah dengan kepentingan nasional dan Dasar Pendidikan Negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Woo menjelaskan bahawa Dasar Pendidikan Negara merupakan kerangka yang terpakai kepada sekolah kerajaan di bawah kelolaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), dan perbezaan sukatan pelajaran tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menafikan nilai akademik aliran pendidikan lain, termasuk Sekolah Persendirian Cina dan sekolah antarabangsa.

Beliau turut menegaskan bahawa beberapa universiti awam tempatan, termasuk Universiti Malaya, mengiktiraf kelayakan antarabangsa seperti A-Level dan International Baccalaureate (IB) yang tidak menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Mengulas kebimbangan berkaitan Perlembagaan Persekutuan, Woo berkata penggunaan serta perkembangan bahasa ibunda adalah dijamin, dan kewujudan Sekolah Persendirian Cina selari dengan semangat perlembagaan serta menjadi aset penting kepada masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Sebagai contoh kejayaan graduan aliran berkenaan, beliau menyebut Datuk Pua Khein-Seng, pencipta pemacu kilat USB dan alumni Sekolah Persendirian Cina, yang kini kembali menyumbang kepada pembangunan industri semikonduktor negara.

Woo berkata beberapa kerajaan negeri seperti Pulau Pinang, Selangor, Sabah dan Sarawak telah mengiktiraf Sijil UEC, termasuk membenarkan kemasukan ke institusi pengajian tinggi negeri serta menawarkan biasiswa, sekali gus membuktikan bahawa pengiktirafan tersebut tidak menjejaskan kepentingan nasional.

“Pengiktirafan Sijil UEC adalah komitmen politik yang pernah dijanjikan oleh pelbagai parti sebelum ini. Kini masanya semua pihak menghentikan polemik dan membenarkan usaha pengiktirafan ini dilaksanakan secara profesional dan berasaskan fakta,” katanya.

Beliau menambah bahawa pengiktirafan UEC bakal menjadi langkah penting dalam reformasi pendidikan negara, di samping memperkukuh prinsip kepelbagaian dan keterangkuman dalam sistem pendidikan Malaysia.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat