KUALA LUMPUR – Perasuah yang terbabit dalam sogokan di pintu masuk negara perlu dibankrapkan bagi mengelakkan mereka terus menikmati harta curi milik negara.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata, rasuah dalam penguatkuasaan perairan bukan sahaja mengakibatkan kerugian kepada negara, malah turut menjejaskan keselamatan dan kedaulatan maritim.
Katanya, SPRM memandang serius sogokan berlaku di perairan bagi melepasi penguatkuasaan dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat melalui pendekatan perundangan serta kewangan.
“Justeru, perasuah perlu dibankrapkan bagi mengelakkan mereka terus menikmati harta curi khususnya hasil rasuah yang berlaku dalam operasi dan penguatkuasaan di perairan negara,” katanya ketika menerima kunjungan hormat delegasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Ibu Pejabat SPRM lapor Utusan pada Selasa.
Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim, Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, APMM komited memperkukuhkan tadbir urus dan disiplin anggotanya terutama dalam operasi di laut.
“APMM akan terus bekerjasama rapat dengan SPRM dalam perkongsian maklumat, latihan serta program pengukuhan integriti bagi memastikan operasi penguatkuasaan maritim dilaksanakan secara telus dan bebas rasuah,” jelasnya.
Beliau berkata, APMM turut mencadangkan pelaksanaan berterusan program Modul Pengukuhan Governans, Integriti dan Antirasuah (MPGIA) serta latihan teknikal Sistem Pengurusan Integriti Agensi (AIMS) supaya pematuhan dan kompetensi pegawai dapat dipertingkatkan secara menyeluruh.



