KUALA LUMPUR – Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu Datuk Rozi Mamat menyelar kenyataan Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Datuk Dr Azman Ibrahim yang mendakwa kononnya Umno tersakiti dalam kes penyelesaian isu tanah milik kerajaan negeri yang dimajukan sebagai ladang Felda/FGV kerana diselesaikan oleh Kerajaan Terengganu pimpinan Pas.
Tegas Rozi, Umno Terengganu tidak pernah mengeluarkan sebarangan kenyataan rasmi berkaitan rundingan tersebut.
“YB Exco janganlah membuat tuduhan yang tidak berasas mengaitkan Umno dengan usaha menambah polemik dalam isu rundingan kerajaan negeri bersama Felda.
Untuk makluman, Umno tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berkaitan rundingan tersebut.
“Kita sangat menghormati proses perundangan, tatakelola serta ruang rundingan antara kerajaan negeri dan pihak Felda.
“Sikap kita jelas, apa jua keputusan yang melibatkan kepentingan rakyat mesti dibuat secara tertib, teratur dan mengikut prosedur,” jelasnya dalam hantaran di Facebook pada Selasa.
Menurut Rozi, kenyataan Exco Terengganu itu yang menuding jari tanpa bukti adalah tidak wajar, lebih-lebih lagi apabila Umno kekal mengambil pendekatan berhemah dan tidak campur tangan dalam rundingan yang belum dimuktamadkan.
“Adalah lebih baik semua pihak mengutamakan ketenangan rakyat, menyampaikan fakta sebenar, dan tidak mencetuskan persepsi yang boleh mengelirukan masyarakat.
K”ita sentiasa bersedia bekerjasama dalam apa jua perkara yang memberi manfaat kepada rakyat, namun kita juga berhak menegur apabila dakwaan tidak berasas dilemparkan.
“Fokus kita adalah rakyat. Bukan polemik,” tegas beliau.



