Keputusan PM lantik Terrirudin tak boleh dicabar – Ketua Hakim Negara

KUALA LUMPUR – Keputusan Perdana Menteri untuk melantik keanggotaan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Ahmad Terrirudin Salleh dalam Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman adalah di bawah budi bicaranya dan tidak boleh dicabar.

Menurut Ketua Hakim Negara Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh, Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) memberi Perdana Menteri prerogatif penuh untuk memilih calon daripada Mahkamah Persekutuan tanpa perlu merujuk kepada suruhanjaya.

“Itu kuasa Perdana Menteri. Saya tidak boleh persoalkan, dan tiada siapa pun boleh persoalkan kerana undang-undang memberi perdana menteri kuasa itu.

“Kita terima sebagaimana ia termaktub,” jelasnya.

Terrirudin, bekas Peguam Negara sebelum dilantik ke Mahkamah Persekutuan tahun lalu, telah hadir dalam mesyuarat terakhir JAC sebagai ahli penuh.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Farid berkata, penilaian terhadap Terrirudin hendaklah dibuat berdasarkan rekod kehakiman beliau hari ini, bukan latar belakang terdahulu.

“Apa yang relevan ialah sikap beliau di mahkamah, bagaimana beliau mengendalikan peguam dan hujahan pihak-pihak,” katanya ketika ditanya pada pertemuan khas bersama pengamal media sempena 100 hari menerajui badan kehakiman di Istana Kehakiman pada Jumaat.

Sebelum ini, The National Human Rights Society (Hakam) dan Majlis Peguam Malaysia mengkritik keputusan kerajaan memilih Terrirudin dipilih berbanding Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Rhodzariah Bujang yang lebih kanan.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Farid menjelaskan JAC tidak pernah menerima sebarang rujukan atau aduan berhubung seorang peguam yang kini menjadi anggota pentadbiran kerajaan.

Penjelasan ini sekali gus menolak dakwaan individu tersebut bahawa pernah ‘dirujuk kepada JAC’.

Jelas beliau, istilah ‘dirujuk kepada JAC’ adalah tidak tepat dan memberi gambaran salah tentang fungsi sebenar suruhanjaya itu, yang tidak berperanan sebagai badan penyiasat atau pihak berkuasa tatatertib bagi ahli pentadbiran.

“Bagaimana boleh kata seseorang itu ‘dirujuk kepada JAC’? JAC bukan badan penyiasat dan bukan badan pentadbiran.

“Perkataan itu sendiri tidak betul,” katanya ketika ditanya wartawan pada pertemuan khas bersama pengamal media yang sempena 100 hari beliau menerajui badan kehakiman di Istana Kehakiman lapor MG pada Jumaat.

Beliau menegaskan mahkamah tidak pernah menerima maklumat mengenai peguam berkenaan.

“Kami tidak menyiasat perkara itu. Saya tidak tahu apa yang berlaku, dan saya tidak ingat sesiapa pun pernah dirujuk kepada JAC. Untuk kesalahan? Saya tidak rasa begitu,” ujarnya.

Wan Ahmad Farid berkata, sebarang isu melibatkan salah laku atau kelayakan individu dalam kerajaan tertakluk kepada mekanisme pentadbiran yang lain dan bukan dalam bidang kuasa JAC.

“Ada saluran yang berbeza untuk menilai sesuatu kesalahan melibatkan ahli pentadbiran. Jika ada masalah, ia dinilai dalam kapasiti mereka sebagai anggota pentadbiran, bukan melalui JAC,” tegasnya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat