KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah menahan ahli Parlimen Padang Serai Azman Nasrudin petang semalam bagi tujuan pertuduhan melibatkan usaha sama ternakan lembu milik kerajaan negeri itu.
Menurut sumber, siasatan dibuat sejak Februari melibatkan dakwaan penerimaan kira-kira RM400,000 sebagai balasan membantu mendapatkan hak penggunaan tanah untuk projek fidlot.
“Kertas siasatan telah dibuka susulan aduan diterima pada 10 Februari 2025 dan siasatan telah dijalankan yang mana 15 orang saksi telah dirakam percakapan.
Sumber mendakwa suspek yang juga wakil rakyat PN didakwa menyalahgunakan jawatan semasa menjadi exco pertanian negeri.
Difahamkan SPRM membebaskannya dengan bon peribadi setelah diambil keterangan.
Dia diberikan notis untuk hadir di mahkamah Alor Setar pada hari Isnin ini, lapor Malaysiakini pada Jumaat.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya Tan SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan tangkapan tersebut ketika dihubungi.
Katanya individu tersebut dirakam percakapan bawah Seksyen 53(3) Akta SPRM 2009 dan dilepaskan dengan jaminan.



