Aokmer usahawan cetus transformasi minda peniaga kecil Dun Lepar

Di sebalik rutin berniaga yang padat dan tanggungjawab harian yang tidak pernah berhenti, sekumpulan peniaga kecil dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lepar sanggup mengorbankan masa dan pendapatan demi satu tujuan besar: perubahan.

Itulah gambaran semangat hampir 40 usahawan kecil yang menyertai program latihan intensif Aokmer Usahawan selama tiga hari, satu inisiatif tajaan bersama Penyelaras DUN Lepar dan Yayasan Pahang yang baru-baru ini berlangsung di Kuantan. Bagi mereka, program ini bukan sekadar kursus ia adalah medan mengubah cara berfikir dan membina masa depan baharu dalam dunia keusahawanan moden.

Kebanyakan peserta terdiri daripada pemilik perniagaan mikro yang majoritinya menguruskan operasi secara tradisional. Justeru, bengkel berfokuskan penjenamaan, pemasaran digital dan strategi penembusan pasaran ini membuka perspektif baharu tentang cara membina jenama yang kompetitif.

Jurulatih utama, Ketua Pegawai Eksekutif Digital Methods, Zulkifli Ahmad, dilihat memainkan peranan penting dalam mencabar zon selesa peserta dengan latihan berasaskan data, teknik pemasaran moden serta kepentingan memposisikan produk mengikut kehendak pasaran semasa.

Penceramah jemputan dari Tekun Nasional serta pengasas bersama Pasar Sera, Nadia Rustham, turut memecahkan mitos keusahawanan yang selama ini membataskan perkembangan usahawan kecil  antaranya keperluan memahami konsep creative market dan bagaimana vendor kecil boleh bersaing melalui identiti jenama yang lebih segar dan tersusun.

Penyelaras DUN Lepar, Mustaqim Zakaria, menyifatkan program itu sebagai antara usaha awal untuk menjadikan Lepar sebagai kawasan yang melahirkan usahawan kecil berdaya saing.

Menurutnya, latihan intensif tersebut berjaya menyerlahkan potensi peniaga kecil Lepar, sehingga 10 vendor dipilih untuk diketengahkan di acara Pasar Sera satu peluang pendedahan besar kepada pasaran lebih luas.

“Ini bukan sekadar latihan, tetapi proses membina identiti. Kami mahu usahawan Lepar menjadi jenama yang dihormati, bukan sahaja di daerah tetapi juga pada peringkat negeri,” katanya.

Semangat peserta jelas terserlah apabila ada yang sanggup menutup perniagaan selama tiga hari demi menyertai program ini – satu langkah berani yang menunjukkan keinginan mendalam untuk berubah.

Pemangku Pengurus Komunikasi Korporat Yayasan Pahang, Nur Fadhlin Jazilah Johan, mengakui terharu melihat kesungguhan tersebut.

“Walaupun mereka tahu menutup kedai bermaksud kehilangan pendapatan, mereka tetap hadir penuh komitmen. Ini bukti bahawa mereka mahu maju dan bersedia berjuang untuk masa depan perniagaan mereka,” ujarnya.

Inisiatif Aokmer Usahawan bukan hanya memfokuskan kemahiran teknikal, tetapi turut membina jaringan kolaborasi antara peniaga, penggerak industri dan agensi pembangunan.

Pendekatan ini dijangka memberi kesan berganda (multiplier effect) terhadap ekonomi setempat, terutama apabila lebih ramai usahawan mula memahami pentingnya inovasi, pemasaran digital serta strategi jenama yang konsisten.

Aokmer Usahawan akhirnya mencetuskan satu gelombang baharu dalam kalangan usahawan kecil luar bandar bahawa kejayaan bukan hanya bergantung pada produk, tetapi juga ilmu, strategi dan keberanian berubah.

Bagi peserta, pengorbanan tiga hari itu bukan satu kerugian, sebaliknya pelaburan paling berharga untuk masa depan perniagaan mereka.

Dengan semangat dan sokongan pelbagai pihak, Lepar kini dilihat bersedia mengambil langkah lebih besar dalam melahirkan komuniti usahawan mikro yang lebih profesional, berdaya saing dan relevan dalam ekosistem ekonomi moden hari ini.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat