KUALA LUMPUR – Jangan sibuk cari kuman di seberang laut, Datuk Seri Azmin Ali wajar meneliti apakah sebabnya 36 kerusi hilang deposit,” bidas Ketua DAPSY, Woo Kah Leong.
Pemuda DAP itu mengingatkan, sebagai Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Azmin harus menilai sebab partinya pun ditolak sepenuhnya oleh rakyat Sabah pada PRN yang lepas.
“Tak pasti sama ada Azmin berkempen di Sabah khususnya Sandakan atau tidak lantaran mungkin ada kenangan tertentu di situ. Atau sebenarnya Azmin mengetahui dengan jelas bahawa sebab utama kekalahan 41 kerusi adalah berpunca daripada tindakannya yang memecah belahkan Bersatu?
“Selepas DAP kalah di kerusi-kerusi yang ditandingi, pimpinan DAP tidak pernah menyalahkan rakyat, dan segera menggerakkan semua untuk bermesyuarat demi menilai sebab kekalahan dan malah beriltizam untuk menyegerakan agenda reformasi dalam enam bulan yang akan datang.
“Bahkan, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke juga mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap kekalahan parti, berbeza dengan pimpinan parti huru-hara yang tidak kelihatan presidennya sehingga hari ini.
“Akar umbi DAP bertekad dan berdiri bersama dengan pimpinan parti dalam keadaan sebegini,” katanya.
Adun Pasir Bedamar itu juga memberitahu, DAP akan bermuhasabah dan meneruskan segala gerak kerja dalam kerangka Kerajaan Persekutuan dan negeri masing-masing untuk terus mengekalkan sokongan masyarakat berbilang kaum yang merangkumi peniaga Cina.
Kata Kah Leong, ini berbeza dengan parti huru-hara yang hanya tinggal nama Bersatu tetapi tidak bersatu pun, 20 Bahagian Bersatu di Sabah telah mendesak peletakan jawatan Presiden parti itu Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Tidak lupa juga insiden beratus-ratus Ketua Bahagian Bersatu yang menandatangani surat akuan yang mendesak Muhyiddin untuk mengundur.
“Penampilan Bersatu selepas PRN Sabah – tiada “post mortem” dan tiada tindakan susulan, yang ada hanyalah menjerit-jerit DAP dan terus berhuru-hara,” tempelak beliau.
Sementara itu, Kah Leong juga mengingatkan Pas supaya jangan angkuh.
“Semua tahu Adun tunggal tersebut adalah meminjam kapasiti parti sahaja, bukannya menang atas kekuatan parti.
“Jagalah Adun tunggal yang hanya pakai baju PN untuk bertanding agar tidak melompat nanti,” pesan Kah Leong.
Semalam, Setiausaha Agung PN Azmin menganggap kekalahan besar DAP dan PH dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini sebagai satu penolakan daripada golongan peniaga dan masyarakat Cina.
Ia susulan keputusan yang menyaksikan DAP tewas di kesemua lapan kerusi yang ditandingi – kebanyakannya di kawasan bandar dengan bilangan pengundi Cina yang besar manakala PH hanya menang satu kerusi secara keseluruhan.
“Keputusan yang dibuat oleh masyarakat perniagaan, khususnya pengundi Cina yang menolak DAP dan PH, adalah isyarat bahawa rakyat mahukan perubahan yang signifikan bagi menjamin masa depan Malaysia,” kata Azmin.



