Apa rancangan jangka panjang kerajaan urus sisa radioaktif Lynas? – Wan Ahmad Fayhsal

KUALA LUMPUR- Kerajaan digesa menjelaskan perancangan jangka panjang bagi pengurusan sisa radioaktif dalam operasi Lynas Corporation di Malaysia yang menurutnya semakin menghampiri kapasiti.

Menurut Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) wujud kebimbangan ramai fasiliti pelupusan kekal (PDF) yang dikatakan tidak lagi mampu menampung sisa buangan ‘Water Leached Purification’ (WLP) dalam tempoh beberapa tahun lagi.

Kata wakil rakyat Bersatu itu lagi, PDF itu hanya menampung 1.6 juta tan dengan jumlah terkumpul telah mencecah 1.2 juta tan.

“Apabila kerajaan memberikan jawapan bahawa kemajuan pembinaan PDF berada pada tahap 74 peratus, ia tidak menjawab persoalan pokok: apakah pelan kerajaan selepas PDF mencapai kapasiti penuh?

“Adakah lesen Lynas akan terus diperbaharui sehingga menghasilkan lebih banyak sisa yang tiada tempat untuk dilupuskan?,” katanya pada sidang media di Parlimen pada Rabu.

Wan Ahmad Fayhsal juga merujuk kebimbangan NGO termasuk Greenpeace Malaysia yang mendakwa usaha mengasingkan thorium daripada sisa WLP sebagai tidak praktikal baik dari segi teknikal mahupun ekonomi.

Kata beliau lagi, negara kini berdepan risiko sehingga akhir 2026 apabila sisa terus bertambah tetapi PDF belum siap dan tiada penyelesaian alternatif yang praktikal.

Wan Ahmad Fayhsal menggesa kerajaan menjalankan kajian saintifik bebas dan telus mengenai keselamatan serta kesan alam sekitar, selain membuka data pemantauan kepada umum.

“Mematuhi standard minimum bukanlah pencapaian. Ia hanya lantai, bukan siling. Malaysia perlu standard keselamatan terbaik dunia,” katanya.

Wan Fayhsal turut menggesa kerajaan mempercepatkan pembentukan Jawatankuasa Khas Nadir Bumi membabitkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Kementerian Kewangan dan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

Jelasnya, industri nadir bumi memerlukan kerangka dasar kukuh kerana ia sektor strategik, lebih-lebih lagi dalam konteks hubungan Malaysia–Amerika Syarikat, yang mahukan negara menjadi pembekal alternatif kepada China.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat