KOTA KINABALU – Pemuda Gagasan Rakyat Sabah (GRS) yakin dan percaya dalam tempoh pentadbiran 5 tahun mendatang akan menjadi saksi kepada keupayaan Kerajaan GRS Plus untuk membawa Sabah ke arah sebuah negeri yang lebih maju, stabil, makmur dan berdaya saing, demi kepentingan rakyat dan masa depan generasi akan datang.
Pemuda GRS dalam kenyataan pada Selasa menyatakan berdiri teguh dan sebulat suara menyatakan sokongan padu serta tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor merangkap Presiden Gagasan Rakyat dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah.
“Kemenangan GRS dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah baru-baru ini merupakan manifestasi jelas kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan Hajiji yang terbukti matang, berwibawa, berwawasan serta berpandangan jauh dalam memastikan kestabilan politik, kemakmuran ekonomi dan kelangsungan pembangunan negeri Sabah.
“Sehubungan itu, seluruh jentera dan kepimpinan Pemuda disemua peringkat digesa untuk memperteguh kesatuan saf perjuangan dan memberikan sokongan padu kepada kepimpinan Hajiji dalam mengemudi pentadbiran negeri bagi tempoh 5 tahun akan datang.
“Sokongan ini amat penting bagi memastikan segala agenda pembangunan rakyat, kesejahteraan sosial serta kemajuan Sabah dapat dilaksanakan secara konsisten, tersusun dan berkesan,” katanya.
Pada masa yang sama, Pemuda GRS menegaskan bahawa pimpinan Pemuda telah dan akan terus berperanan sebagai wadah utama menyuarakan aspirasi, harapan serta denyut nadi anak muda Sabah kepada kepimpinan tertinggi parti dan kerajaan.
“Namun demikian, Pemuda GRS juga menzahirkan pendirian untuk sentiasa akur, patuh dan setia terhadap setiap keputusan pimpinan, demi menjamin kestabilan, keutuhan organisasi serta kelangsungan perjuangan membangunkan negeri dan membela nasib rakyat.
“Pemuda GRS juga merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada seluruh barisan Jemaah Menteri Negeri Sabah yang telah mengangkat sumpah baru-baru ini.
“Kami menaruh penuh keyakinan agar barisan Kabinet yang dilantik ini dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada penyelesaian isu-isu legasi rakyat secara menyeluruh dan tuntas, penambahbaikan serta peluasan inisiatif kebajikan dan kesejahteraan rakyat, pemerkasaan agenda wanita dan pembangunan anak muda, peningkatan kecekapan tadbir urus dan penggunaan sumber negeri secara berhemah serta terus konsisten mempertahankan dan memperjuangkan hak-hak Sabah selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963,” katanya.



