Oleh Zihan Zari
KOTA KINABALU – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Balai Seni Negara telah mengadakan Program Borneo Creative & Culture District (BCCD) 2025 di Kampung Warisan Sabah (Fasa II), Muzium Sabah, dekat sini baru-baru ini.
Perasmian BCCD 2025 yang merupakan festival seni dan budaya telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) MOTAC, Dato’ Mohd Yusri Mohd Yusoff.
Turut hadir, Setiausaha Tetap, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan & Alam Sekitar Sabah (KePKAS), Datuk Josie Lai Mei Sing; dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Balai Seni Negara, Rohana Mohd Yusof.
Balai Seni Negara dalam kenyataan berkata BCCD 2025 dianjurkan dengan visi untuk menjadi pusat kreatif dan budaya yang inklusif serta dinamik, bertujuan memperkasa seni dan budaya di peringkat serantau.
“Program ini bertindak sebagai platform untuk membangunkan kefahaman dan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan sektor seni dan budaya dalam membina ketamadunan negara, sekali gus memperkukuh jalinan masyarakat.
“BCCD 2025 turut menggalakkan penglibatan masyarakat melalui pelbagai aktiviti seni dan budaya, sejajar dengan usaha memelihara keharmonian dan memupuk perpaduan,”kata kenyataan itu.
“Program yang julung kali diadakan ini menghimpunkan penggiat seni bukan sahaja dari Sabah, malah dari Sarawak, Brunei, dan Kalimantan.
“Antaranya, Ruas Garis, Sukaseni Malaysia, Borneo Bengkel, Pangrok Sulap, Haus KCH, Susur Galur, Asgardian Art, Persatuan Seni Visual Sabah, Sabah Youth Network for Creatives, Labuan Visual Art Association, University College Sabah Foundation, serta Sekolah Seni Malaysia Sabah,”katanya.
Katanya lagi, pelbagai pengisian menarik disediakan sepanjang program, termasuk pengalaman seni interaktif di ruang terbuka menerusi Art in the Park, selain meninjau Artisan Market yang menghimpunkan kira-kira 40 usahawan seni dan kraf dari Sabah, Labuan, dan Borneo.
“Pelbagai bengkel, demonstrasi dan pameran turut dijalankan secara kolaboratif bersama komuniti seni tempatan, memberi peluang kepada pengunjung untuk turut serta secara langsung dalam aktiviti seni.
“BCCD 2025 turut menampilkan forum dan sesi perkongsian bersama penggiat seni serta usahawan kreatif, di samping persembahan seni dan kebudayaan yang memaparkan keindahan warisan Borneo secara tradisional dan kontemporari melalui muzik, tarian serta persembahan visual.
“Penganjurannya diharap mampu menjadi pemangkin kepada penganjuran program seni dan budaya pada masa hadapan, selain terus memberi inspirasi kepada penggiat seni tempatan dan serantau untuk bersama-sama memartabatkan warisan seni Borneo ke peringkat yang lebih tinggi, ”ujarnya.
“Balai Seni Negara turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada KePKAS; Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah; Balai Seni Lukis Sabah; Muzium Sabah; dan Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara (JKKN).
“Selain itu, Kraftangan Malaysia; Tourism Malaysia; Sabah Tourism Board; Hello Sabah; serta Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) atas sokongan yang diberikan terhadap penganjuran program ini,”tambahnya. -SUARA.TV



