Oleh Zihan Zari
IPOH – Politeknik Ungku Omar (PUO) melalui Jabatan Kejuruteraan Perkapalan, Centre of Technology in Marine Engineering (CTME) dan Malaysia Marine Engineering Technology TVET Collaboration Hub (MarETech) terus memperkukuh kedudukannya sebagai pusat rujukan TVET maritim Malaysia dengan mengadakan Sesi Menandatangani Surat Hasrat (Letter of Intent – LOI) dan Surat Niat Bersama (Notification of Collaboration – NOC) bersama agensi dan syarikat terkemuka industri maritim.
PUO memaklumkan, LOI dan NOC melibatkan Orkim Berhad dan Pelita Akademi Sdn Bhd di pihak swasta, manakala agensi kerajaan pula diwakili oleh Kolej Perikanan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Lumut (KPSNMSL); dan Akademi Perikanan Malaysia (APM), Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) telah berlangsung di Level 10, Symphony Suites Hotel, dekat sini baru-baru ini.
“Pemeteraian ini merupakan langkah strategik untuk memperkasa latihan, penyelidikan dan pembangunan kompetensi dalam bidang Kejuruteraan Marin.
“Sesi LOI dan NOC ini telah ditandatangani oleh Pengarah Urusan Orkim, Capt. Cheah Sin Bi; Ketua Pegawai Eksekutif Pelita Akademi Sdn. Bhd., Sukiman Mohamed; Pengarah KPSNMSL, Norul Fahiezah Salehhuddin; dan Pengarah APM DOF, Anis Mazidah Abd Samad.
“Sesi pada hari ini menandakan komitmen bersama dalam memperkukuh integrasi industri dan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET)
demi melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dan berdaya saing.
“Seiring dengan usaha memperkasakan latihan industri (Marin), PUO juga mengalu-alukan penempatan enam pelajar program Work Based Learning (WBL) Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Kejuruteraan Marin bersama Orkim,”katanya dalam kenyataan.
“Program WBL ini memberikan peluang berharga kepada pelajar untuk mendapatkan pengalaman kerja sebenar dan mengasah kemahiran praktikal mereka, selaras dengan keperluan industri maritim yang sentiasa berkembang, ”katanya lagi.
Dalam kenyataan yang sama, Pengarah PUO, Dr. Hjh. Salmi Che Meh berkata kerjasama strategik ini adalah tonggak penting dalam usaha PUO memperkukuh ekosistem TVET maritim.
“Dengan gabungan kepakaran dari sektor swasta dan agensi kerajaan, kami yakin dapat menghasilkan graduan yang bukan sahaja berpengetahuan, tetapi juga cekap dan bersedia menghadapi cabaran industri maritim yang dinamik. Ini sejajar dengan visi PUO untuk menjadi pusat unggul TVET bertaraf antarabangsa, ”katanya.
Tambahnya, PUO komited terus menjadi peneraju dalam pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi cabaran dan peluang dalam sektor maritim negara. -SUARA.TV



