Selepas jadi kerajaan DAP tak suci lagi di mata pengundi Cina – A Kadir

KOTA KINABALU – Pengundi Cina didakwa tidak lagi melihat DAP suci (sacred) setelah menjadi sebahagian daripada kerajaan.

Tokoh Wartawan Negara Datuk Abdul Kadir Jasin mendakwa, pengundi Cina yang selama ini setia kepada DAP telah berpaling tadah.

“Tidak kurang memeranjatkan adalah penolakan muktamad terhadap DAP. Pengundi Cina yang selama ini setia kepadanya berpaling tadah.

“Semua lapan orang calonnya tumpas dan enam kerusi yang dimenangi dalam PRN 2020 hilang.

“Orang Cina tidak teruja dengan keberadaan DAP dalam Kerajaan Madani. Mereka tidak pun faham atau peduli apa Madani? Yang mereka mahu adalah keadaan terbaik untuk berniaga dan membuat keuntungan. Sebaliknya, mereka tidak lagi lihat DAP suci (sacred) setelah menjadi sebahagian daripada kerajaan,” katanya dalam hantaran di Facebook semalam.

Justeru menurut A Kadir kesimpulannya, keputusan PRN Sabah ini membuktikan yang perasaan kedaerahan di kalangan pengundi semakin tebal, kewibawaan kepemimpinan pusat dicurigai dan mereka semakin yakin kepada kemampuan sendiri.

Mengulas lanjut beliau berkata, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan dibantu oleh sekututu-sekutunya berjaya memperoleh cukup sokongan bagi menubuhkan kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Sabtu.

“GRS memperoleh 29 daripada 73 kerusi dewan. Saingan terdekat, Warisan mendapat 25 kerusi. Untuk membentuk kerajaan, 37 kerusi diperlukan. Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji bin Noor, 69 tahun, mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri buat kali kedua pada pukul 3.05 pagi (Ahad).

“Mengambil kira hakikat bahawa Sabah terkenal dengan politik rampas merampas jawatan Ketua Menteri, Hajiji tentu telah berjaya mengumpul majoriti yang meyakinkan sebelum mengangkat sumpah jawatan.

“Berkenaan GRS, ia terdiri daripada lapan parti komponen rasmi iaitu Gagasan Rakyat Sabah, PBS, SAPP, STAR, USNO, LDP, PHRS, dan PCS berserta keahlian terus GRS. Parti-parti kecil dan calon bebas yang menang mungkin telah mengikrarkan sokongan kepada Hajiji.

“Sekali gus, kejayaan memperoleh kerusi terbanyak dalam PRN ke-17 ini memberikan keabsahan kepada GRS sebagai gabungan tersendiri dan menang atas tiket sendiri.

“Kita kena ingat, dalam PRN ke-16 (tahun 2020), 11 orang calon, termasuk Hajiji, menang atas tiket Parti Bersatu (diperbetulkan). Pada ketika itu, Hajiji adalah Ketua Badan Pimpinan Tertinggi Bersatu Sabah,” katanya.

A Kadir menyatakan, jelas daripada keputusan pada 29 Nov yang majoriti pengundi Sabah berasatu hati menyokong part-parti negeri dan menolak parti-parti nasional.

“Mereka seolah-olah tidak peduli sama ada calon yang mereka pilih itu korup atau bersih asalkan mereka mewakili parti-parti tempatan.

“Akibatnya, Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) semuanya mencatatkan pencapaian buruk. PH bertanding 22 kerusi menang 1, PN bertanding 42 menang satu dan BN bertanding 45 menang 6. Kerusi tunggal PN adalah sumbangan Pas yang menang kali pertama dalam sejarah Sabah.

“Dalam PRN 2020, PH menang lapan kerusi (enam DAP, dua PKR), PBBM (sebelum tertubuh PN) 11 dan BN (Umno) 14,” ujarnya.

Justeru kata A Kadir, nampaknya sentimen “Sabah for Sabahans” (Sabah untuk Rakyat Sabah) ada benarnya. Perasaan kedaerahan (parochialism) di negara-negara Borneo nampak semakin ketara.

Sementara itu tegas beliau, Dalam persaingan di kalangan perkasa (titan) pusat yang melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (BN) dan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin (PN), Ahmad Zahid mendahului. Partinya menang lebih banyak kerusi. Anwar dan Muhyiddin seri.

“Ini sangat mencemarkan prestij Perdana Menteri kerana beliau sendiri menjadi ketua turus kempen PH (sampai menggunakan kemudahan kerajaan kononnya demi keselamatan), di samping pelbagai ikrar dan janji kepada rakyat Sabah,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat