Armizan ingatkan rakyat Sabah hati-hati dengan janji Umno-BN

KOTA KINABALU – Datuk Armizan Mohd Ali menyelar kenyataan beberapa pemimpin utama BN-Umno yang mengeluarkan kenyataan bahawa sejak 2016, parti itu telah membuat komitmen bahawa ‘apa yang pernah terambil, akan dipulangkan kepada Sabah’.

Armizan selaku wakil Menteri Kabinet Persekutuan dari Sabah bagi Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963, berkata sungguhpun kenyataan ini satu ‘pengakuan bersalah’ (admission of guilt), pengesahan pernah mengambil hak Sabahan, tapi ia perlu diterima secara positif kerana ada keinginan untuk berubah.

“Selepas Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu membuat keputusan yang mengesahkan hak 40 peratus pemberian khas Sabah dan menjelang PRU DUN Sabah, beberapa pemimpin utama BN-Umno mengeluarkan kenyataan bahawa sejak 2016, parti itu telah membuat komitmen bahawa ‘apa yang pernah terambil, akan dipulangkan kepada Sabah’.

“Malangnya kita perlu berhati-hati menerima aku janji BN-Ummo. Ini kerana apa yang dilafaz nampaknya tidak seperti dibuat.

“Seringkali dilihat tindak tanduk mereka mengutamakan kepentingan parti berbanding kepentingan negeri (party over state interest),” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sebagai contoh ujar Armizan, pemberian bantuan Kerajaan Pusat kepada Kerajaan Negeri untuk pembayaran elaun JKKK atau JPKK.

Kata beliau, sejak sekian lama, Kerajaan Pusat akan memberikan bantuan kepada Kerajaan Negeri untuk membiayai sebahagian elaun penggerak pentadbiran di kampung.

“Malangnya, apabila Umno-BN sudah tidak menjadi sebahagian daripada Kerajaan Negeri Sabah pimpinan GRS, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sudah tidak menyalurkan peruntukan elaun JKKK ini kepada Kerajaan Negeri sejak tahun 2024.

“Sebaliknya, KKDW melantik pentadbiran kampung sendiri yang dijenamakan sebagai Jawatankuasa Komuniti Desa Madani (JKDM).

“Maksudnya, kini senarai pentadbiran kampung bukan hanya perlu dirujuk, tetapi diluluskan di Putrajaya (KKDW), bukannya di negeri.

“Di setiap kampung kini, akan ada dua bentuk jawatankuasa iaitu JKKK (Negeri) dan JKDM (Pusat). Tindakan memecah belah masyarakat di kampung, umpama pendekatan ‘divide and rule’.

“Bermula 2024, Kerajaan Sabah terpaksa mengeluarkan peruntukan tambahan anggaran sebanyak RM20 juta setahun untuk mencukupkan keperluan elaun JKKK. Bayangkan kadar RM20 juta ini dianggarkan boleh menampung anggaran keperluan peruntukan untuk menaik taraf jalan konkrit/aspal kampung sepanjang 40km,” katanya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu berkata, beliau cukup yakin pendekatan ini adalah atas syor Umno-BN Sabah kepada KKDW, untuk melantik dan membayar jentera parti sebagai JKDM. Di Sarawak tidak ada JKDM, sebab tidak wujud Umno-BN di sana.

“Cara Ini menzahirkan polisi komitmen MA63 ke laut.

“Adakah lebih banyak lagi perkara serupa ini akan dibikin balik di Sabah? Sabahan, fikir-fikirkanlah,” kata Armizan.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat