Warisan tuntut pendirian PH, terutama DAP berkait skandal bekas SUPOL PM jangan kecewakan Kit Siang

KOTA KINABALU – Semua calon Pakatan Harapan (PH) terutamanya calon DAP mesti, sebelum hari Jumaat, tampil secara terbuka kepada rakyat Sabah untuk menjelaskan pendirian mengenai “dakwaan skandal rasuah perlombongan melibatkan bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri”, desak calon Parti Warisan bagi N.54 Karamunting Alex Tk Wong.

Tegas beliau, jika masih memilih untuk diam, maka pada hari pengundian Sabtu ini, sudah tiba masanya rakyat Sabah menggunakan undi untuk memberi mesej tegas kepada ahli-ahli politik PH ini.

“Rakyat adalah bos sebenar. Siapa berani mencabar garis merah rakyat, rakyatlah yang akan menghukum mereka,” bidas beliau memberi amaran.

“Baru-baru ini, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke sekali lagi menegaskan, integriti dan anti rasuah adalah nilai teras DAP; kita tidak boleh mengecewakan Tan Sri Lim Kit Siang. Kita mahu menggerakkan budaya politik yang berintegriti, berprinsip dan stabil, bukan budaya ahli politik yang mengikut kepentingan peribadi.

“Justeru jika DAP menjadikan integriti sebagai garis merah yang tidak boleh dikompromi, kini apabila bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri terjerat dalam dakwaan rasuah perlombongan Sabah, atas dasar apa lapan calon DAP masih memilih untuk berdiam diri?

“Diam bermaksud merestui, diam bermaksud melindungi!

“Ahli politik boleh menjerit slogan anti rasuah di hadapan rakyat, tetapi apabila pimpinan parti sekutu mereka sendiri terlibat dalam dakwaan salah laku, mereka tiba-tiba menjadi tuli dan bisu. Sikap hipokrit dan bermuka-muka ini pasti akan dihukum rakyat,” selar Alex dalam kenyataan.

Menurut calon Warisan dalam kenyataan bahawa Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin, telah didakwa secara bersemuka oleh “whistleblower” Sabah, Albert Tei.

Kata Alex, menurut dakwaan tersebut, Shamsul Iskandar pernah berjanji untuk membantu mendapatkan semula wang yang sebelum ini didakwa ditipu daripadanya, dan sepanjang proses itu, Shamsul Iskandar didakwa telah menerima lebih daripada RM629,000 daripada Albert Tei.

“Sebelum ini, Shamsul Iskandar turut disebut oleh Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli, kerana disyaki mengeluarkan surat sokongan secara peribadi bagi projek Hospital Muar, kononnya meminta pihak berkaitan untuk “memberi pertimbangan” kepada enam kontraktor tertentu.

“Namun, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar kemudiannya cuba meremehkan isu tersebut dengan menyifatkannya sebagai “surat biasa” dan “perkara kecil”, satu pendirian yang bercanggah dengan imej tegas beliau terhadap rasuah, dan amat mengecewakan.

“Lebih membingungkan, apabila dakwaan skandal rasuah besar melibatkan gabungan pemerintah Sabah meletus tahun lalu, pimpinan PH, terutamanya DAP telah memilih untuk berdiam diri.

“Bahkan Anthony Loke, hanya berkata ringkas bahawa “DAP Sabah akan menyelesaikan kedudukan sendiri”. Akhirnya, PH Sabah tetap menyokong Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri walaupun terpalit dakwaan skandal, malah selepas pembubaran DUN, mereka terus memilih untuk bekerjasama dengan GRS dalam PRN Sabah ke-17,” selar beliau.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat