KUALA LUMPUR, 22 NOVEMBER 2025 – Malaysia kini menjadi gelanggang perebutan kuasa nadir bumi antara dua gergasi dunia, Amerika Syarikat (AS) dan China, menurut laporan eksklusif The Washington Post (WP). Gambaran yang ditunjukkan sangat jelas: ketika AS baru merancang strategi, China sudah bertapak kukuh dalam sektor ini sejak lebih sedekad lalu.
Tumpuan AS kini terarah kepada fasiliti pemprosesan nadir bumi berusia 15 tahun milik Lynas di Gebeng, Pahang — satu-satunya pusat penapisan nadir bumi skala besar di dunia yang beroperasi di luar China. Kilang ini pula sedang berkembang, dengan pembangunan kilang super-magnet oleh sebuah syarikat Korea Selatan serta kerjasama baharu bersama firma AS, Noveon Magnetics.
Washington melihat Malaysia sebagai “jawapan” untuk melemahkan dominasi China, yang menguasai 70 peratus perlombongan dan 90 peratus pemprosesan nadir bumi dunia, termasuk unsur berat kritikal yang digunakan dalam sektor pertahanan. Namun menurut WP, realiti di lapangan jauh lebih kompleks — China bukan sahaja sudah lama berada dalam industri ini, malah didakwa mengawal aliran rantaian bekalan nadir bumi Malaysia melalui pengaruh senyap yang sukar dikesan.
Pengaruh berbahaya China?
WP memetik bekas Menteri Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad, yang menerangkan bagaimana campur tangan China didakwa cukup kuat sehingga mampu mengubah arah dasar Malaysia. Menurut Nik Nazmi, kerajaan pada awalnya mahu MCRE Resources menghantar bijih nadir bumi ke Lynas untuk diproses dalam negara. Namun rancangan itu terhenti secara tiba-tiba.
“Mereka dapat panggilan dari China mengatakan itu tidak akan berlaku. Dan itulah pengakhirannya,” kata Nik Nazmi.
Selepas itu, MCRE menjadi satu-satunya syarikat yang diberikan pengecualian eksport ketika Malaysia melaksanakan larangan eksport nadir bumi mentah tahun lalu. Semua produknya dieksport kepada syarikat milik kerajaan China, manakala operasi syarikat bergantung hampir sepenuhnya kepada mesin, bahan kimia dan jurutera dari negara itu.
Di Pahang, Lynas pula mendakwa pembekal China telah menghentikan bekalan alat ganti mesin buatan negara tersebut, memaksa syarikat itu membangunkan komponen sendiri yang lebih mahal. Ketua Pegawai Eksekutif Lynas, Amanda Lacaze, menyifatkan tindakan itu sebagai “hukuman kos” yang dicetuskan oleh tekanan geopolitik China terhadap usaha AS membina rantaian bekalan bebas-Beijing.
Dalam masa yang sama, AS giat melobi Malaysia. Ketika lawatan bekas Presiden Donald Trump ke Kuala Lumpur, Washington memperoleh komitmen bahawa Malaysia tidak akan menyekat eksport nadir bumi ke AS dan kekal membuka ruang kerjasama strategik. Namun Malaysia memilih sikap berkecuali. Menteri MITI, Tengku Zafrul Abdul Aziz, menegaskan Malaysia tidak berminat membina blok anti-China. “China juga dialu-alukan datang ke sini,” katanya.
Kotak hitam China
WP turut mendedahkan bahawa China menawarkan teknologi pemprosesan nadir bumi kepada Malaysia dalam bentuk “kotak hitam”, iaitu teknologi siap pasang yang beroperasi tanpa pemindahan ilmu kepada jurutera tempatan. Jurutera China dihantar untuk menjalankan operasi, manakala Malaysia hanya menjadi lokasi pengeluaran — pendekatan yang mengingatkan kepada model perlombongan China di Afrika.
Penganalisis keselamatan Universiti Malaya, Collins Chong, memberi amaran bahawa Malaysia berisiko terperangkap dalam permainan pengaruh yang tidak seimbang. “MCRE adalah contoh jelas apa yang berlaku apabila industri terlalu terikat dengan rantaian bekalan China. Beijing akan menentukan keputusan jangka panjang,” katanya.
WP menegaskan bahawa walaupun AS cuba mengejar, China sudah jauh mendahului dengan pengalaman 40 tahun dalam industri ini. Eksekutif industri tempatan, Lim Wei Hung, menambah bahawa untuk membuka satu lombong sahaja mengambil masa satu dekad. “Musuh terbesar AS bukan China. Musuhnya adalah masa,” katanya.
Ekosistem nadir bumi Malaysia yang huru-hara
Pendedahan Washington Post ini mengesahkan bahawa ekosistem pelombongan nadir bumi Malaysia berada dalam keadaan tidak tersusun, tidak seragam dan terbuka kepada risiko besar terhadap keselamatan negara dan alam sekitar.
Rabu lalu, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, mengingatkan bahawa Malaysia tidak boleh terjun ke dalam industri nadir bumi tanpa ekosistem lengkap, dasar jelas dan rangka pengawasan yang kukuh.
Beliau menegaskan bahawa sektor ini melibatkan isu keselamatan negara, pemindahan teknologi, kedaulatan dan risiko pencemaran jangka panjang dan tanpa ekosistem yang jelas, Malaysia akan terus terdedah kepada pengaruh luar dan eksploitasi pihak yang lebih dominan.
Kenyataan Fayhsal itu seolah-olah disahkan oleh pendedahan Nik Nazmi tentang bagaimana “satu panggilan dari China” mampu menghentikan rancangan Malaysia memproses nadir bumi di dalam negara.
Lebih membimbangkan, pencemaran “air biru” yang berlaku di Sungai Perak minggu lalu menunjukkan bahawa risiko industri ini bukan lagi teori. Menurut laporan CNBC, siasatan awal mendapati pembuangan dari tapak perlombongan nadir bumi yang dikendalikan MCRE Resources sepadan dengan warna air sungai tersebut. Bacaan radiasi di tapak berkenaan turut mencecah 13 becquerel — jauh melepasi had satu becquerel yang diluluskan dalam laporan EIA projek itu. Operasi syarikat kini digantung.
Pencemaran di Perak menjadi bukti paling jelas bahawa tanpa ekosistem nadir bumi yang tersusun, Malaysia bukan sahaja menjadi medan perebutan AS–China, tetapi juga berisiko tinggi menghadapi bencana alam sekitar, eksploitasi teknologi asing dan kehilangan kawalan terhadap sumber kritikal negara.
Bagaimanapun Kerajaan Malaysia masih dalam keadaan mendiamkan diri. Dengan Kementerian terlibat – Kementerian Sumber Asli dan Kelstarian Alam – sendiri hanya dipangku Datuk Seri Johari Abdul Ghani, masa depan industri nadir bumi negara mungkin berhadapan kemunahan besar pada masa hadapan. – SUARA.TV



