KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak ‘malas’ membaca seperti yang didakwa.
Pun begitu, Tokoh Wartawan Negara ke-9 Datuk A Kadir Jasin memberitahu pembacaan Anwar lebih berbentuk sastera dan ketamadunan selaras dengan latar belakang beliau sebagai lulusan Fakulti Sastera dan Sains Sosial.
“Mengenai Anwar, daripada hebahan beliau sendiri, pembacaannya lebih berbentuk sastera dan ketamadunan selaras dengan latar belakang beliau sebagai lulusan Fakulti Sastera dan Sains Sosial.
“Misalnya, tidak berapa lama dulu, beliau menghebahkan, lengkap dengan gambar, dalam platform media sosial beliau yang beliau membaca dan teruja dengan novel Gabriel García Márquez bertajuk “Until August”.
“Novel “erotic” (berahi) oleh novelis dan wartawan Colombia itu mengisahkan seorang isteri yang bahagia. Namun, setiap kali menziarahi kubur ibunya di sebuah pulau, setiap Ogos, dia akan meniduri beberapa orang lelaki sebelum pulang.
Laporan atas talian mengatakan, Anwar menyifatkan karya itu “sebagai bacaan yang memikat dan sukar dilepaskan”, catat wartawan veteran itu dalam hantaran di Facebooknya pada Sabtu.
Menurut A Kadir lagi, ada pemimpin yang baca sendiri tetapi ada juga yang mengupah orang membaca dan membuat ringkasan bagi pihak mereka untuk dijadikan bahan percakapan (talking point) dan ucapan.
Malah katanya, ada yang mengupah penulis hantu (ghost writer) untuk menulis buku bagi pihak mereka.
“Dalam membaca, satu salah anggapan (fallacy) yang wajib kita hapuskan adalah ekonomi dan kewangan sukar. Ekonomi dan kewangan, sebagai sebahagian daripada kehidupan harian, adalah rudimentary (asas) dan mudah.
“Kita, khususnya Melayu-Islam, wajib membaca, berfikir dan menulis. Kalau menonton itu lebih baik daripada membaca, tentulah Allah Taala yang Maha Mengetahui telah berfirman, “tontonlah”. Tetapi Allah berfirman, “bacalah”, ujar beliau.
Mengulas lanjut, A Kadir menitipkan nasihat supaya membaca kerana dengan membaca perkara yang susah akan jadi mudah.
“Tabiat membaca yang diajarkan oleh Almarhum ayah saya, ketika saya kanak-kanak, melekat sampai hari ini. Bila terjaga, ada masa dan bahan untuk dibaca, saya akan baca. Sekarang ini, bahan bacaan ada di hujung jari.
“Bagi menambah kepada apa yang Toh Puan Naimah Abdul Khalid, balu Almarhum Tun Daim Zainuddin, ceritakan mengenai asas kejayaan orang Kedah, dalam temu bualnya dengan “Keluar Sekejap” baru-baru ini, izinkan saya memberi sedikit latar belakang.
“Naimah bertanya Tun Dr Mahathir Mohamad bagaimana ramai orang Kedah, “negeri ulu” berjaya dan cemerlang. Dr Mahathir kata, dengan banyak membaca.
“Walaupun, pada zaman Dr Mahathir dan Daim Kedah “ulu”, miskin dan kurang kemudahan pelajaran formal, tetapi tradisi ilmu tersebar luas melalui sekolah pondok. Ramai lulusan sekolah agama pondok merantau ke merata tempat mengajar agama dan, sedikit sebanyak, ilmu dunia.
“Almarhum ayah saya, Jasin Tahir, belajar di sekolah pondok dan sedikit di sekolah rakyat (sekolah Melayu). Zaman 1940-an hingga 1960-an banyak bahan bacaan dalam tulisan jawi. Saya boleh tulis dan baca jawi sampai hari ini.
“Dr Mahathir telah menulis mengenai isu pendidikan di Kedah dan seluruh Tanah Melayu seawal tahun 1948 dalam akhbar Straits Times di Singapura,” jelas A Kadir lagi.
Dalam temu bual itu juga kata beliau, Naimah berkata, Daim memberitahunya yang Anwar , “malas” membaca. Namun begitu, kalau kita dengar cerita Anwar, beliau tidaklah malas membaca.
“Malah pada setiap kesempatan yang sesuai, beliau akan menceritakan, lengkap dengan gambar, buku yang beliau sedang dan telah baca.
“Kalau benar beliau malas membaca seperti yang didakwa, itu mungkin buku-buku atau bahan-bahan yang berat dan “boring” macam hal-hal berkaitan ekonomi dan kewangan.
“Atau kadar bacaan beliau tidaklah banyak jika dibandingkan dengan Daim yang “voracious” membaca. Mejanya bertimbun bahan maklumat dalam pelbagai format – buku, surat khabar, majalah, keratan akhbar dan cetakan komputer.
“Setiap kali saya mengunjungi beliau (Daim) di pejabatnya, ada saja bahan bacaan yang beliau rujukkan kepada saya, khususnya berkaitan ekonomi, geopolitik dan perisikan (intelligence),” dedah beliau.



