Ahli Parlimen Machang gesa Kerajaan kaji semula kelulusan Lynas, kembalikan kedaulatan ekonomi negara

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal semalam mendesak Kerajaan mengkaji semula kelulusan operasi Lynas Malaysia serta semua perjanjian berkaitan industri nadir bumi, sambil memberi amaran bahawa Malaysia sedang menempuh risiko “penjajahan ekonomi baharu”.

Dalam ucapan beliau di Dewan Rakyat, Wan Ahmad Fayhsal menegaskan bahawa Malaysia kini berada di persimpangan besar antara peluang ekonomi nadir bumi dan ancaman eksploitasi asing, khususnya melibatkan Amerika Syarikat dan syarikat pemprosesan seperti Lynas.

Beliau menyatakan bahawa perjanjian perdagangan timbal balik dengan Amerika Syarikat turut merangkumi sektor nadir bumi, sementara Lynas mempunyai kontrak dengan Jabatan Pertahanan AS untuk membina loji pemprosesan nadir bumi berat di Texas. Menurutnya, situasi ini membuka ruang kepada Malaysia menjadi pusat pemprosesan global tetapi menanggung sepenuhnya risiko alam sekitar dan sisa radioaktif.

Wan Ahmad Fayhsal berkata dasar nadir bumi negara perlu disusun semula dengan memastikan keuntungan dan teknologi tidak terus dibolot syarikat asing, sedangkan sisa radioaktif ditinggalkan kepada rakyat Malaysia. Menurut beliau, menuntut pemilikan berdaulat dan menolak monopoli asing bukan tindakan anti-pelaburan, tetapi langkah mempertahankan kedaulatan ekonomi dan keselamatan negara.

Beliau mengingatkan bahawa sejak 2012, Lynas telah menghasilkan lebih 1.8 juta tan sisa radioaktif tanpa pelan pelupusan kekal yang siap. Walaupun Permanent Disposal Facility (PDF) diumumkan pada 2023, kemajuannya hanya 32 peratus pada ketika itu dan kini baru mencapai 72 peratus, jauh tertinggal daripada sasaran 82 peratus. Namun lesen operasi Lynas sedang dipertimbangkan untuk diperbaharui sehingga Mac 2026.

Wan Ahmad Fayhsal turut mempersoalkan layanan istimewa terhadap Lynas yang menikmati pengecualian cukai selama 12 tahun, tetapi pada masa sama hanya menggajikan 855 pekerja setakat Jun 2025. Beliau membangkitkan laporan kewangan syarikat yang menunjukkan kerugian cukai terkumpul berjumlah AUD75.5 juta, sedangkan Malaysia berpotensi mengutip ratusan juta hasil sekiranya pengecualian tidak diberikan.

Menurut beliau, keadaan ini bukan pembangunan mapan, sebaliknya pembangunan yang menggadaikan masa depan ekologi negara. Beliau menegaskan dirinya bukan anti-nuklear atau anti-teknologi, tetapi mahukan kerajaan lebih bertanggungjawab dalam mengawal selia sektor yang sensitif dan berimpak tinggi kepada keselamatan alam sekitar.

Beliau turut memberi amaran bahawa apabila Amerika Syarikat mahu bebas daripada dominasi China dalam bekalan nadir bumi, Malaysia telah dijadikan pusat pemprosesan untuk memenuhi keperluan geopolitik kuasa besar tersebut. Katanya, Malaysia membantu mereka bebas, tetapi rakyat Malaysia terikat dengan sisa radioaktif.

Menurut beliau, rantaian bekalan global ini tidak seimbang apabila bahan mentah, teknologi, dan keuntungan dikuasai pihak asing, tetapi risiko ditanggung Malaysia. Beliau mempersoalkan sama ada syarikat-syarikat dari Amerika Syarikat yang bakal memasuki pasaran Malaysia akan menerima layanan sama seperti Lynas atau Kerajaan akan menetapkan piawaian yang lebih ketat.

Wan Ahmad Fayhsal menegaskan Malaysia mesti kembali kepada prinsip ekonomi hijau berdaulat, dengan memastikan pemilikan tempatan, standard tinggi dan akauntabiliti mutlak dalam sektor nadir bumi.

Beliau turut merujuk kepada anggaran nilai nadir bumi negara yang mencecah RM747 bilion serta potensi pelaburan RM100 bilion menjelang 2030, sambil mengingatkan bahawa angka-angka besar ini akan menjadi tidak bermakna sekiranya Malaysia hanya berfungsi sebagai kilang pemprosesan yang menanggung risiko.

Beliau menutup ucapannya dengan menyeru kerajaan memastikan semua perjanjian perdagangan, eksport dan pelaburan dalam sektor nadir bumi tidak sekali-kali mengorbankan kedaulatan ekonomi dan keselamatan alam sekitar Malaysia. – SuaraTV


-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat