BONGAWAN, – Calon Perikatan Nasional (PN) N30 Bongawan, Ridzuan Firdaus, menegaskan tiga fokus utama untuk kawasan itu menjelang PRN Sabah: penambahbaikan pendidikan, penyelarasan khairat kematian dan pembangunan setempat.
Beliau berkata inisiatif pembelajaran tambahan merangkumi akademik dan sukan perlu diperkukuh bagi membantu pelajar luar bandar dan keluarga berpendapatan rendah, selain memastikan generasi muda Bongawan lebih berdaya saing.
Ridzuan turut menekankan keperluan menyeragamkan skim khairat kematian di masjid dan surau agar bantuan kecemasan dapat disalurkan dengan lebih cepat dan teratur.
Di samping itu, beliau berkata isu infrastruktur seperti jalan raya, sistem perparitan, pencahayaan awam dan ruang komuniti perlu diberi perhatian segera kerana Bongawan didakwa terlalu lama tidak menerima pembaharuan ketara.
Kerusi N30 Bongawan menyaksikan pertandingan sembilan penjuru, membabitkan:
Ridzuan Firdaus (PN), Mohamad Alamin (BN), Anifah Aman (GRS), Daud Yusof (WARISAN), Dolores Michael (STAR), Peter Matinjal (KDM), Hussin Dasar @ Esah (PPRS), Royston Adven (PIS) dan Md Haris Md Tahir (Bebas).
Menurut Ridzuan, pendidikan berkualiti, sistem khairat kematian yang teratur dan pembangunan progresif merupakan asas kesejahteraan rakyat Bongawan.



