KUALA LUMPUR, — Spekulasi semakin memuncak bahawa Malaysian Indian Congress (MIC) mungkin mengumumkan keputusan meninggalkan Barisan Nasional (BN) seawal petang ini, selepas ucapan dasar Presidennya SA Vigneswaran pagi tadi memberi isyarat paling keras dalam sejarah hubungan kedua-dua parti.
Dalam perhimpunan yang dihadiri 1,808 perwakilan di Shah Alam, Vigneswaran bukan sahaja mempertikaikan kepimpinan BN, malah mempersoalkan sama ada gabungan itu masih mewakili semangat asal Perikatan sindiran yang dilihat pemerhati sebagai petunjuk bahawa MIC sudah sampai ke penghujung kesabaran.
Katanya, BN hari ini tidak lagi mencerminkan nilai yang membentuk Perikatan pada 1957, yang dibina atas persahabatan, maruah dan prinsip.
“Kita harus bertanya: mengapa parti lain telah meninggalkan BN? Dan dalam hati kita, bolehkah kita percaya bahawa BN hari ini masih mencerminkan Perikatan yang asal? Persoalan yang mesti ditanya: adakah kita sedang dipanggil keluar BN untuk kembali memasuki Perikatan?” katanya dalam ucapan dasar yang mendapat tepukan gemuruh perwakilan.
Ucapan itu menyusul selepas beberapa minggu spekulasi dalaman bahawa MIC akan menangguhkan keputusan keluar BN atas permintaan kepimpinan gabungan, yang bimbang langkah itu akan menjejaskan prestasi BN pada PRN Sabah 29 November ini.
Namun nada ucapan hari ini memberi gambaran bahawa MIC tidak lagi mahu menunggu.
Vigneswaran turut menyelar UMNO kerana didakwa mengetepikan MIC sejak kekalahan BN pada 2008 dan 2018, sehingga suara masyarakat India terpinggir dalam rundingan kerusi dan pelantikan politik.
“Hari ini MIC tiada menteri, tiada GLC, tiada pelantikan signifikan. Kesetiaan lebih enam dekad bukan untuk dibuli, bukan untuk dipermainkan. Cukup sudah dibuli,” katanya.
Mengulas tindakan UMNO membuat keputusan sepihak termasuk langkah memaksa PRU15 diadakan lebih awal, beliau menyifatkannya sebagai pengkhianatan halus terhadap MIC.
Sumber dalaman MIC pula menyatakan bahawa ucapan Vigneswaran hari ini bukan retorik semata-mata, sebaliknya satu ‘prelude’ sebelum keputusan besar diumumkan dalam sesi petang.
“Jangkaannya sangat tinggi. Nada ucapan pagi ini memang sengaja dibiarkan terbuka memberi ruang kepada perwakilan untuk membaca arah tuju sebenar,” kata seorang penasihat politik kepada Presiden MIC tersebut.
Sumber BN yang dihubungi Suara.TV mengakui gabungan itu sedang bersedia untuk sebarang kemungkinan, termasuk risiko kehilangan satu-satunya parti India yang menjadi pengasas Perikatan bersama UMNO dan MCA sejak 1950-an.
Menurut mereka, beberapa pimpinan BN telah cuba memujuk MIC agar menangguhkan keputusan namun ucapan Vigneswaran hari ini menunjukkan bahawa kepimpinan MIC mungkin sudah membuat keputusan sendiri.
Jika MIC benar-benar mengumumkan keputusan meninggalkan BN petang ini, ia akan menjadi tamparan terbaharu kepada kepimpinan BN, yang kini hanya tinggal UMNO dan MCA sebagai komponen pengasas.- SuaraTV



