PUTATAN,– Calon Perikatan Nasional (PN) bagi DUN N24 Tanjung Keramat, Farish Adamz atau lebih dikenali sebagai Adam Kenny, mengetengahkan tiga keutamaan utama yang akan dilaksanakannya sekiranya diberi mandat oleh rakyat pada Pilihan Raya Negeri Sabah kali ini.
Dalam sesi podcast Suara TV, Adam menegaskan bahawa tumpuan beliau adalah menyelesaikan masalah rakyat secara praktikal dan realistik, bermula dengan keperluan terbesar golongan muda di Putatan.
Menurut Adam, fokus pertamanya adalah membantu belia, khususnya dari aspek peluang pekerjaan, kebajikan dan penyampaian aduan.
“Satu, bantu belia. Dari segi pekerjaan mereka, jaga kebajikan, dengar aduan mereka. Itu saja,” katanya.
Beliau turut mengakui bahawa Tanjung Keramat berdepan masalah sosial yang sudah lama tertangguh, termasuk isu setinggan. Menurutnya, penyelesaian perlu dilakukan secara berperingkat dan bukannya dengan pemberian segera yang hanya “memanjakan” kelompok tersebut.
“Masalah setinggan ini… kita tak boleh bagi terus. Itu akan memanjakan mereka. Tapi kita boleh beri ruang dan peluang untuk mereka bangunkan diri step by step,” jelasnya.
Adam yang berusia 39 tahun menyifatkan kedudukannya “di tengah-tengah” antara golongan muda dan matang sebagai satu kelebihan untuk mendekati pelbagai lapisan pengundi.
Mengulas cabarannya berdepan calon keluarga berpengaruh di kawasan itu, Adam menekankan bahawa sentimen rakyat kini lebih memihak kepada pemimpin baharu yang memahami kesusahan golongan B40.
“Ada sentimen… mereka dilahirkan dalam ‘silver plate’. Orang biasa hidup susah. Jadi kalau mahu perubahan, cuba yang baru. InsyaAllah kita akan bawa suara rakyat lebih tinggi,” ujarnya.
Adam turut menegaskan bahawa beliau bukan calon “tangkap muat”, sebaliknya sudah terlibat dalam kerja kebajikan dan perkhidmatan masyarakat sejak 2019.
PN dilihat mempertaruhkan calon-calon muda berlatarkan kerja komuniti bagi mencabar penguasaan politik warisan keluarga di Putatan, khususnya dengan 11 penjuru di Tanjung Keramat.



