Pendudukan Francis Light di Pulau Pinang langgar undang-undang antarabangsa, masih sembang soal kedaulatan? – Pas Kedah

KUALA LUMPUR – Pas Kedah menyokong langkah kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Sanusi Md Nor berhubung isu kedudukan serta hubungan negeri itu dan Pulau Pinang dan menegaskan tidak akan sesekali berundur.

Pesuruhjaya Pas Kedah Datuk Ahmad Yahaya berkata, tuntutan Kedah itu adalah jelas yang mana nilai pajakan Pulau Pinang dan pemberian pampasan terhadap pengambilan sumber air mentah daripada Sungai Ulu Muda harus ada semakan dan timbal balik.

Ironinya menurut beliau, beberapa wakil rakyat DAP berulang kali menyebutkan tentang soal kedaulatan Pulau Pinang sehingga lupa bahawa Kedah juga ada kedaulatannya.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan mengapa Kedah seolah-olah ditindas haknya selama ini.

Pada masa sama, beliau turut merujuk dokumentasi sejarah yang ditulis oleh sarjana R. Bonney bertajuk “Kedah 1771-1821: The Search for Security and Independence” yang telah menghuraikan perkara itu dengan lebih cermat.

“Kesimpulan daripada beliau adalah pengambilalihan Francis Light dan Syarikat Hindia Timur pada 1786 adalah tidak sah.

“Pendudukan Francis Light di Pulau Pinang telah “melanggar undang-undang antarabangsa” malah telah dianggap “membohongi Sultan Abdullah” ketika itu.

“Adakah hari ini mereka masih mahu bercakap soal kedaulatan?

“Bagaimana dengan kajian R. Bonney bahawa pendudukan Francis Light di Pulau Pinang sebagai tidak sah justeru meletakkan kedudukan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang masih di bawah kedaulatan Negeri Kedah?” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena turut merujuk tuntutan Kedah itu berdasarkan Perkara 167(7) Perlembagaan Persekutuan.

Perkara itu, jelasnya, menyebut Persekutuan hendaklah membuat pembayaran tahunan yang sama sebagaimana yang kena dibuat sebelum Hari Merdeka di bawah Perkara II Triti yang dibuat pada 6hb Mei 1869 antara Baginda Ratu pada satu pihak Raja Siam pada pihak yang satu berkenaan dengan Negeri Kedah.

Jelas beliau, pajakan Pulau Pinang yang diterima oleh Kedah hari ini adalah RM10,000 iaitu pemberian wajib Persekutuan kepada negeri dan RM10 juta lagi tambahan yang bersifat pentadbiran.

Namun, tambahnya, dalam tempoh lebih 150 tahun lalu, tiada semakan dibuat terhadap nilai pembayaran pajakan tersebut.

“Apabila Kedah menyuarakan tentang hasrat ini, mereka kembali mengangkat alasan Pulau Pinang sebuah negeri yang berdaulat.

“Kerajaan Negeri Kedah kemudiannya mengambil langkah proaktif dengan membuat kajian menyeluruh semata-mata untuk menentusahkan kedaulatan sebenar Pulau Pinang.

“Maka, apa yang mereka begitu takutkan?

“Atau bimbang usaha “penghapusan etnik” Melayu di sana akan tergendala jika Kedah mengambil langkah yang lebih drastik?” soalnya.

Sebelum ini, Sanusi memaklumkan, Kedah dalam fasa akhir memuktamadkan pelantikan pasukan guaman bagi memulakan tindakan perundangan berhubung isu kedudukan dan hubungan negeri itu dan Pulau Pinang.

Menurut beliau, langkah itu susulan keprihatinan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang menzahirkan keperluan supaya isu berkenaan dijelaskan secara telus termasuk perkara berkaitan pajakan.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat