KUALA LUMPUR – Sembilan daripada 10 kes orang hilang berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditemui semula, sama ada masih hidup atau sudah meninggal dunia.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dengan lari dari rumah kerana merajuk dengan keluarga dan mengikut kawan antara punca kes orang hilang di negara ini.
Beliau berkata, kes sedemikian antara yang penyumbang kepada 90 peratus orang hilang yang ditemui semula.
“Bila saya sebut bagi setiap 10 laporan orang hilang, sembilan ditemui itu sebenarnya pelbagai (sebab). Pertama dia lari dari rumah, dia merajuk dengan keluarga dan dia ikut kawan. Itu (terkandung dalam) kategori itulah.
“Dalam sembilan ditemui, ada ditemui hidup, ada ditemui mati pun ada. Tapi ini kategori ditemui. Satu yang tidak dijumpai mewakili 10 peratus, saya katakan termasuk kes ini (merujuk kes kehilangan Pastor Raymond Koh dan aktivis Amri Che Mat),” katanya di Dewan Rakyat lapor BH pada Khamis.
Beliau menjawab soalan tambahan Dr Abdul Ghani Ahmad (PN-Jerlun) sama ada kerajaan bersedia atau tidak memperkenalkan satu undang-undang khususnya terkait kehilangan paksa ditakrif sebagai satu jenayah, memandangkan tiada definisi jelas dalam perundangan sekarang sekali gus boleh menyukarkan pendakwaan.
Pada 5 November lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan kerajaan membayar ganti rugi keseluruhan berjumlah RM3,264,457.52 berserta kos dan faedah kepada isteri Amri, Norhayati Mohd Ariffin.
Mahkamah turut memerintahkan kerajaan membayar lebih RM37 juta kepada isteri Koh, Susanna Liew.
Keputusan itu dibuat selepas mahkamah membenarkan saman yang difailkan oleh kedua-dua wanita itu terhadap kerajaan dan polis berhubung kehilangan suami masing-masing.
Dalam pada itu, Saifuddin turut menjelaskan mengapa keluarga Koh dan Amri menerima ganti rugi berbeza, yang mengambil kira kehilangan individu itu masing-masing pada 13 Februari 2017 serta 24 November 2016.
Beliau menjelaskan, keluarga Koh sebenarnya menggunakan asas tuntutan ‘forced disappearance’ (kehilangan paksa) dan tidak sama dengan keluarga Amri.
“…. isteri Amri tidak menggunakan asas (tuntutan) itu dalam memulakan tindakan (perundangan) itu. Sebab itu kuantumnya berbeza,” katanya.



