KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak boleh datang ke Parlimen untuk menyatakan keputusan mahkamah berkenaan tuntutan hasil bersih 40 peratus itu, Kerajaan Persekutuan setuju tetapi beberapa perkara dan butiran di dalam Alasan Penghakiman Perdana Menteri, Jemaah Menteri serta Kerajaan Persekutuan tidak setuju.
Menurut ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim, perlu difahami keputusan mahkamah yang dibuat oleh hakim dan Alasan Penghakiman yang juga dibuat oleh hakim yang sama adalah dua perkara yang berbeza tetapi saling berkait seperti isi dengan kuku.
Jelas beliau, keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu itu adalah berasaskan alasan penghakiman hakim yang mendengar kes semakan kehakiman itu.
“Jika ada isu yang dikemukakan di dalam Alasan Penghakiman yang Kerajaan Persekutuan tidak setuju, maka Kerajaan Persekutuan perlu merayu ke Mahkamah Rayuan Malaysia.
“Malah jika perlu merayu hingga ke Mahkamah Persekutuan kerana kes tuntutan 40 peratus hasil kepada Sabah ini adalah isu keperlembagaan di mana forum terakhir di putuskan isu perlembagaan ini ialah di Mahkamah Persekutuan, bukannya di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.
“Jika Kerajaan Persekutuan telah memutuskan tidak mahu merayu maka natijah undang-undang mahkamah ialah Kerajaan Persekutuan kena patuh dan akur 100 peratus setiap perintah yang dinyatakan di dalam Keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu bertarikh 17 OKT 2025 itu.Tidak boleh pilih-pilih,” tegas beliau yang juga pengamal undang-undang dalam kenyataan pada Khamis.
Menjelaskan hal itu Hassan berkata, pada peringkat sekarang Kerajaan Persekutuan tidak boleh berlengah-lengah atas alasan untuk berunding dengan kerajaan negeri Sabah atau Jawatankuasa Khas Kabinet berkenaan Perjanjian Malaysia 1963 ( MA63).
Tegas beliau, ini bukan masa berunding lagi sebaliknya ini masa untuk laksanakan apa yang diperintah oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.Tidak ada option lain.
“Saya mengalu-alukan dan menghargai kesanggupan dan keberanian Perdana Menteri Anwar Ibrahim menjelaskan perkara yang tersebut di atas di Parlimen pada pagi Khamis 13 November 2025.
“Adakah penjelasan PM Anwar itu telah menjawab isu yang berbangkit dari keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17hb Oktober 2025 itu? Jawapannya tidak.
“Perdana Menteri menyatakan di Parlimen bahawa Jemaah Menteri dalam mesyuarat khasnya pada 11 November 2025, setelah mendengar penjelasan dan nasihat Peguam Negara telah membuat keputusan tidak akan merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu itu. Kecelaruan hujah dari segi undang-undang timbul dalam ucapan PM Anwar di Parlimen.
“Dalam satu aspek PM Anwar berkata Kerajaan menerima keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berkenaan isu 40 peratus tuntutan hasil kepada Sabah tetapi PM Anwar memberitahu Parlimen bahawa Kerajaan Persekutuan atau Jemaah Menteri tidak bersetuju dengan beberapa perkara yang dinyatakan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu di dalam Alasan Penghakimannya.Misalnya hukuman yang dinyatakan di dalam Alasan Penghakiman itu yang membawa tafsiran oleh Perdana Menteri bahawa semua Perdana Menteri yang lalu dari tahun 1974 hingga sekarang dan semua Ketua Menteri Sabah yang lalu dalam tempoh yang sama dari 1974 hingga sekarang dihukum oleh keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu itu.
“Di sinilah terletaknya kecelaruan Perdana Menteri dan Jemaah Menteri.Di sinilah juga terletak kecuaian dan kegagalan Peguam Negara dalam memberi nasihat kepada Perdana Menteri dan Jemaah Menteri.
“Adakah Perdana Menteri dan Jemaah Menteri menyedari aturan mahkamah iaitu jika kerajaan tidak membuat rayuan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu itu, ia bermakna kerajaan Persekutuan bersetuju dengan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu itu? soal Hassan.
Menurut beliau, jika Kerajaan Persekutuan gagal mematuhi keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu itu maka Kerajaan Persekutuan telah tidak menghormati mahkamah atau menghina mahkamah.
“Inilah kesannya atau natijah keputusan kerajaan yang terburu-buru memutuskan untuk tidak merayu.
“Tidak ada manfaat PM Anwar datang ke Parlimen menyatakan bahawa beberapa butiran dalam alasan penghakiman bersifat menghukum kerajaan Pusat dan kerajaan negeri yang terdahulu hingga sekarang tetapi kerajaan persekutuan telah memutuskan untuk tidak merayu.
“Parlimen tidak boleh buat apa-apa untuk berpihak kepada kerajaan persekutuan atas prinsip pemisahan kuasa dan juga keluhuran undang-undang dan kedaulatan Perlembagaan.
“Jangan salahkan sesiapa jika ada pihak membuat kesimpulan bahawa Kerajaan Persekutuan telah membuat satu kesalahan tort yang dipanggil kecuaian kerajaan Persekutuan kerana tidak membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu tersebut,” jelas Hassan.



