Tiada kerusi bertembung BN-PH Sabah – Tok Mat

KUALA LUMPUR- Barisan Nasional (BN) mengesahkan tiada pertembungan kerusi antara BN dan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17, 29 November ini.

Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, meskipun masih terdapat perbincangan dalaman bagi BN berhubung pembahagian kerusi yang akan ditandingi, kedua-dua parti komponen Kerajaan Perpaduan itu tidak akan bertembung sesama sendiri.

“Masih ada sedikit perbincangan dalam BN mengenai pembahagian kerusi, tetapi yang pasti tiada pertembungan dengan PH.

“Jentera BN juga perlu terus digerakkan sehingga hari pengundian pada 29 November ini bagi memastikan kemenangan calon BN,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Penduduk Kampung Contoh, Sabah, malam tadi.

Dalam pada itu, Mohamad yang juga Timbalan Presiden Umno mencadangkan Ketua Umno Bahagian Putatan, Jeffrey Nor Mohamed sebagai calon parti itu bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat.

Katanya, kesetiaan dan komitmen Jeffrey Nor dalam memperkukuh kembali kekuatan Umno di bahagian Putatan menjadikannya layak diberi peluang bertanding pada pilihan raya kali ini.

“Kita menyokong Jeffrey Nor sebagai calon DUN Tanjung Keramat kerana beliau mempunyai sokongan kuat daripada penduduk setempat.

“Namun begitu, kita tunggu keputusan muktamad daripada pucuk pimpinan parti,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan 15 November sebagai tarikh penamaan calon, 25 November bagi pengundian awal dan 29 November sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah Ke-17.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat