KOTA KINABALU,– Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 pada November ini, rakyat Sabah diseru mengundi berdasarkan masa depan negeri, bukan kesetiaan kepada parti atau pemimpin tertentu.
Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Syahruddin Awang Ahmad, berkata pengundi perlu menilai siapa yang benar-benar mampu membawa perubahan sebenar dalam aspek ekonomi, tadbir urus dan pembangunan, bukan sekadar mengekalkan naratif lama yang tidak berkesudahan.
“Gunakan peluang ini sebaiknya. Kalau kita mahu keadaan sama berulang lima tahun lagi, kekalkan pilihan lama. Tapi kalau kita mahu perubahan, kita perlu berani memilih dengan fikiran terbuka,” katanya dalam Podcast Jam Kesebelas yang dihoskan Ab Jalil Backer dan Elviza Michelle Kamal.
Beliau menegaskan, rakyat kini lebih matang dan tahu menilai prestasi kerajaan serta calon yang bertanding berdasarkan rekod dan keupayaan, bukan slogan.
“Pengundi sekarang lebih sedar. Mereka tahu parti mana atau pemimpin mana yang hanya pandai berjanji tapi tidak menunaikan,” ujarnya.
Dr. Syahruddin turut mengingatkan bahawa cabaran sebenar Sabah bukan semata-mata pada siapa menang pilihan raya, tetapi sejauh mana pemimpin yang terpilih mampu menunaikan keperluan asas rakyat.
“Peluang pekerjaan, kos sara hidup, dan kemajuan ekonomi itu isu sebenar. Politik hanya alat untuk mencapai kesejahteraan rakyat, bukan matlamat itu sendiri,” tegasnya.
Beliau turut menzahirkan harapan agar PRN kali ini menjadi titik perubahan budaya politik Sabah daripada politik individu kepada politik idea dan dasar, dengan pengundi menjadikan masa depan negeri sebagai keutamaan utama.
“Tepuk dada, tanyalah apa yang kita mahu untuk Sabah. Fikir masa depan negeri, bukan masa depan parti,” katanya.



