Oleh Zihan Zari
KUALA KANGSAR – Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) mengharumkan dunia sukan tanah air apabila pasukan Petanquenya berjaya meraih naib johan dalam Kejohanan Petanque Remaja Kebangsaan Bawah 20 Tahun (Double Junior) 2025 yang berlangsung di Arena Petanque Kuala Kangsar, dekat sini baru-baru ini.
Kejohanan berprestij ini berlangsung selama dua hari telah menghimpunkan seramai 106 penyertaan dari seluruh negara menyaksikan saingan sengit dalam kalangan remaja berbakat yang berentap penuh semangat di bawah terik matahari dan sorakan penyokong.
Pasukan POLIMAS yang dibimbing oleh Jurulatih, Zul Amalli Harun berjaya membuktikan keampuhan taktikal dan semangat juang yang tinggi apabila pasangan Muhammad Fitri Ibrahim dan Wan Umi Nafeesya Amna Wan Osmadi dinobatkan sebagai naib johan Petanque Remaja Kebangsaan Bawah 20 Tahun 2025.
Pencapaian membanggakan turut disumbangkan oleh beberapa wakil lain dari POLIMAS antaranya:
- Tempat ke-5 hingga ke-8: Muhammad Afiq Zakwan Zainal dan Muhammad Arif Adha Ahmad .
- Best 32: Ahmad Hafiz Salahuddin, Muhammad Syahrulnizam, Muhammad Adam Shahputra Muhammad Azrul dan Najla Qistina Shahrin.
- Best 64: Nur Afrina Noor Shaharil Anuar dan Muhammad Haris Mohd Tasiruddin.
Jurulatih, Zul Amalli ketika ditemui selepas kejohanan melahirkan rasa syukur dan bangga dengan prestasi anak didiknya.
“Mereka bermain dengan penuh disiplin, strategi yang matang dan semangat berpasukan yang luar biasa. Kejayaan ini hasil daripada latihan konsisten serta sokongan padu daripada pihak pengurusan POLIMAS. Saya yakin mereka mampu pergi lebih jauh di masa hadapan,” katanya.
Menurutnya lagi, kejohanan ini bukan sekadar medan pertandingan, tetapi platform pembangunan bakat muda yang mampu melahirkan pemain pelapis untuk sukan petanque peringkat kebangsaan.
Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Akademik POLIMAS, Dr. Mhd Azmin Mat Seman telah mengucapkan tahniah kepada seluruh pasukan dan jurulatih atas kejayaan membanggakan itu.
“Pencapaian ini menunjukkan bahawa pelajar POLIMAS bukan sahaja unggul dalam akademik, malah menyerlah dalam bidang sukan. Ini sejajar dengan aspirasi kami untuk melahirkan graduan TVET yang seimbang dari segi ilmu, sahsiah dan fizikal,” katanya dalam satu kenyataan.
Kejayaan pasukan petanque ini turut memperkukuh reputasi POLIMAS sebagai institusi TVET yang komited dalam membina potensi pelajar secara holistik.
Dengan semangat kesukanan yang tinggi dan komitmen tidak berbelah bahagi daripada semua pihak, POLIMAS sekali lagi membuktikan keunggulannya di pentas kebangsaan, bukan sekadar di medan ilmu, tetapi juga di gelanggang juara. – SUARA.TV



