Oleh Zihan Zari
MELAKA – Inkubator INCUSPACE yang ditubuhkan oleh Politeknik Melaka (PMK) merupakan inisiatif strategik bagi menyediakan ruang dan peluang kepada pelajar serta usahawan muda bagi mengembangkan potensi diri dalam bidang keusahawanan.
Penubuhannya merupakan usaha signifikan dalam melahirkan generasi muda yang kreatif, berdaya tahan dan mampu bersaing di peringkat tempatan mahupun antarabangsa, kata Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Melaka, Allex Seah Shoo Chin.
Katanya, para pelajar tidak seharusnya sekadar menjadi pencari kerja, sebaliknya perlu tampil sebagai pencipta peluang pekerjaan yang berani mengambil risiko, mencetus idea baharu serta membina empayar perniagaan yang memberi manfaat kepada masyarakat dan negara.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program pelancaran Inkubator INCUSPACE PMK yang diadakan di Pusat Pelajar PMK dekat sini, baru-baru ini.
Allex Seah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kesidang berkata, kejayaan Inkubator Keusahawanan ini menuntut kerjasama dan sokongan padu daripada pelbagai pihak termasuk industri, agensi pembiayaan, mentor berpengalaman serta kesungguhan dan daya juang tinggi daripada pelajar sendiri.
“Dengan sinergi tersebut, Inkubator INCUSPACE diyakini mampu menjadi pemangkin kepada lahirnya lebih ramai usahawan muda yang inovatif, berdaya saing dan mampan.
”Melalui kemudahan dan bimbingan yang disediakan, para peserta berpeluang memperkukuh ilmu dan kemahiran perniagaan selain menerima panduan dalam aspek inovasi, pemasaran serta pengurusan syarikat secara holistik, ”katanya.
Allex Seah turut menandatangani plak perasmian sebagai simbolik pelancaran rasmi dan kemudiannya meneruskan lawatan ke ruang Inkubator bagi meninjau fasiliti, aktiviti dan hasil inovasi pelajar yang bernaung di bawah program tersebut.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Politeknik Melaka atas usaha berterusan dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan di negeri ini.
Ujarnya, inkubator ini diharap menjadi platform yang kondusif untuk menyemai benih kejayaan serta memperkasakan budaya keusahawanan dalam kalangan generasi muda.
Terdahulu, Timbalan Pengarah PMK , Zeyana Abdullah berkata penubuhan inkubator itu melambangkan komitmen berterusan pihak politeknik dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan di kampus serta membuka ruang kerjasama dengan agensi dan industri berkaitan.
“Penubuhannya selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memperkasa agenda Keusahawanan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) yang berteraskan kepada pembentukan graduan holistik, berciri keusahawanan serta seimbang antara ilmu, kemahiran dan sahsiah, ”tambahnya.-SUARA.TV



