KUALA LUMPUR- Ahli Parlimen pembangkang digesa untuk tidak menyalahgunakan Dewan Rakyat sebagai ‘platform’ untuk menyebarkan perkara tidak betul selain menokok tambah isu tertentu semata-mata mahu mencetuskan sentimen buruk terhadap kerajaan.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail membangkitkan teguran itu kepada Ahli Parlimen pembangkang yang sebelum ini sengaja menokok tambah isu membabitkan anggota Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di Masjid Rusila dekat Marang, Terengganu, baru-baru ini.
Memetik kenyataan Ahli Parlimen Pendang daripada PAS semasa di Dewan Rakyat, beliau mendakwa Datuk Awang Hashim bertindak melampaui batas apabila menyamakan apa berlaku di masjid berkenaan dengan peristiwa Memali.
“Kalau ditanya kepada saya itu sangat jelas. Cuma tingkah laku seorang Ahli Parlimen dalam Dewan (Rakyat), ia dikawal oleh Peraturan Mesyuarat. Jadi menjadi kewajipan mana-mana pihak dalam Parlimen kalau hendak mengangkat perkara itu kedepan.
“Menjadi tanggungjawab supaya masyarakat terbanyak mendapat gambaran lebih tepat, versi sebenar berlaku dalam kejadian itu. Jadi platform Parlimen sudah pasti mesti digunakan secara penuh tanggungjawab dan kita pun mesti sedia untuk dipertanggungjawabkan.
“Terutamanya kalau ia diheret sehingga menyamakan dengan insiden Memali. Insiden itu kita sudah lupa seperti mana Kita tak mahu lagi ajak rakyat bercakap pasal peristiwa 13 Mei, peristiwa Memali yang membabitkan kematian nyawa. Kita kena jaga perasaan ahli keluarga.
“Macam sekarang, seolah-olah Ahli Parlimen macam mudah kaitkan seolah-olah satu kejadian (membabitkan) enam anggota Maritim Malaysia singgah sembahyang Asar kemudian disamakan keadaan di sebuah kampung, yang sebelum itu sudah ada beberapa insiden sehingga membawa peristiwa itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan dan sambutan Hari Inovasi 2025 KDN, di Putrajaya lapor BH pada Khamis.
Ketika berucap dalam perhimpunan itu, Saifuddin sempat menjelaskan dengan lebih lanjut isu terpalit anggota Maritim Malaysia di Masjid Rusila dengan menyifatkan ia cuma berlaku salah faham berkaitan modul latihan ketenteraan.
Beliau turut mengesahkan isu berkenaan sudah pun selesai selepas pertemuan dengan pihak terbabit termasuk imam dan tiada tindakan lanjut (NFA) daripada polis.
Mengulas lanjut, katanya, latihan yang berlangsung pada 19 September lalu itu membabitkan beberapa checkpoint seperti terminal bas, pasar dan beberapa premis lain.
Beliau juga sudah meneliti semua rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mengesahkan tiada insiden luar biasa yang berlaku pada waktu solat Asar.
“Tindakan sudah dibuat, termasuk libat urus antara pihak polis dan pihak masjid serta Ahli Parlimen Marang (Tan Sri Abdul Hadi Awang). Kesimpulan hasil pertemuan itu, tiada perkara luar biasa, hanya sedikit salah faham dan kedua-dua pihak berpuas hati.
“Jadi tidak ada apa-apa. Berita pun tiada, akhbar pun tidak melaporkan apa-apa sehingga semalam apabila isu itu dibangkitkan. Maka, saya tampil beri penjelasan.
“Saya harap janganlah diperbesar-besarkan latihan pasukan elit itu dengan ucapan yang tidak menimbangkan fakta sebenar. Laporan polis sudah dibuat, pihak polis sudah menemui pengurusan masjid dan Ahli Parlimen Marang dan kes berakhir dengan baik,” katanya.



