Oleh Zihan Zari
YAN – Bagi meningkatkan sosio-ekonomi nelayan dan memastikan kelestarian sumber marin, Jabatan Perikanan Kedah telah mengambil langkah melabuhkan sebanyak 12 unit tukun dasar lembut penghalang pukat tunda (rekreasi) di perairan Pulau Telor, dekat sini baru-baru ini.
Penempatan tukun ini dijangka akan meningkatkan sumber perikanan serta memberikan manfaat besar kepada nelayan pesisir pantai melalui kesan limpahan (spill over effect) dapat menambahkan hasil tangkapan, kata Pengarah Perikanan Kedah, Sukri Deris.
Beliau berkata, projek yang menelan kos RM379,080.00 ini dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan dan dengan penambahan ini, jumlah tukun yang telah dilabuhkan di perairan negeri ini kini mencecah 570 unit dengan kos keseluruhan RM10,518,677.
Menurutnya, tukun tiruan ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) untuk memulihara stok dan sumber perikanan negara.
Katanya, program tukun tiruan ini telah dimulakan sejak tahun 1975 di Pulau Telor dan pada fasa awalnya, tukun dibina menggunakan tayar terbuang. Kawasan tukun tiruan sering menjadi habitat bagi spesies ikan komersial seperti kerapu, merah, jenahak, dan pari.
Keberkesanan tukun tiruan ini bergantung pada pemeliharaan dan penjagaannya dari penangkapan ikan yang berlebihan.
Beliau menyeru semua pihak diharap dapat bekerjasama untuk memastikan tukun-tukun ini kekal terpelihara.
Ujarnya, usaha ini bertujuan untuk membiarkan tukun menjadi “matang” dan ditumbuhi hidupan marin, seterusnya membentuk habitat baru yang menarik lebih banyak ikan.
Tambahnya, jabatan juga menggalakkan kerjasama daripada pelbagai pihak, termasuk badan korporat, untuk menyertai program konservasi dan pemuliharaan sumber marin serta bersedia memberikan khidmat pandangan teknikal berdasarkan pengalaman dan kajian yang telah dijalankan. – SUARA.TV



