KUALA LUMPUR – MIC dijangka meninggalkan Barisan Nasional (BN) pada November, itu perkongsian Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan kepada bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman ketika berkunjung ke kediamannya sempena meraikan Deepavali.
Menurut Tajuddin, Saravanan kelihatan tegas apabila menyatakan perkara itu.
“Semalam saya pergi rumah Datuk Seri Saravanan meraikan Deepavali, saya sempat bersembang dengan dia dari hati ke hati – saya tanya dia macam mana MIC ni apa yang saya dengar nak keluar (BN).
“Apa jadi dengan MIC? Dia beritahu saya MIC mungkin keluar daripada BN bulan depan katanya. Jadi, saya tanya kenapa? Dia beritahulah beberapa perkara menyebabkan mereka tak puas hati tapi saya tak boleh kongsi kerana, ini perkara sulit dan sensitif.
“Walau macam mana pun saya nasihatkan beliau supaya mempertimbangkan keputusan itu, kerana MIC dah lama dengan Umno dalam Perikatan, BN kita telah harungi suka duka bersama dalam politik Malaysia ini,” kongsi bekas ahli Parlimen Pasir Salak itu di TikToknya.
Kata Tajuddin lagi, banyak sumbangan MIC juga terhadap kemajuan dan pembangunan negara kita dan semua rakyat Malaysia pelbagai bangsa.
“Saya nasihatkan beliau kalau bolehlah pertimbangkan semula.
“Saya beritahu kalau nanti MIC keluar BN pelbagai anggapan orang terhadap BN dan juga MIC.
“Tapi, beliau nampaknya tegas, mungkin beliau akan mendapat petunjuk dan hidayah…saya harap begitu.
“Saya harap MIC masih kekal dalam BN,” ujarnya.
Saravanan sebelum ini juga pernah berkata, MIC akan memuktamadkan keputusan berhubung masa depan di dalam BN serta menerima pelawaan menyertai Perikatan Nasional (PN) pada perhimpunan agung parti itu yang dijadualkan berlangsung November ini.
Timbalan Presiden MIC itu berkata, meskipun terdapat jemputan daripada Pas dan Bersatu, kuasa untuk membuat keputusan bukan terletak pada pimpinan tertinggi parti.
Menurutnya, segala keputusan bergantung kepada sokongan perwakilan di dalam Perhimpunan Agung MIC nanti.
“Memang ada jemputan daripada Pas dan Bersatu, saya ucapkan terima kasih dan perkara ini boleh diputuskan oleh perhimpunan agung, bukan saya ataupun presiden. Memang saya dengan presiden tak ada kuasa untuk memutuskan,” katanya.



