KOTA KINABALU — Dua belas tahun selepas tragedi berdarah Lahad Datu yang menggegarkan negara pada 2013, Sabah kekal sebagai nadi pertahanan timur Malaysia — dan Eastern Sabah Security Command (ESKOM) menjadi benteng utama memastikan tragedi seumpamanya tidak berulang.
Namun, di sebalik rekod kejayaan dan keupayaan memelihara keamanan, ancaman terhadap keselamatan Sabah kini semakin kompleks, merentasi sempadan fizikal, sosial, dan politik.
Inilah antara dapatan penting dalam episod terbaharu Podcast SmartTalk Sabah yang menampilkan Profesor Madya Dr. Ramli Dollah, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan Universiti Malaysia Sabah (UMS) merangkap Penganalisis Keselamatan Serantau, bersama hos Jo-Anna Sue Henley Rampas.
Episod ini mengupas secara mendalam evolusi keselamatan, geopolitik, dan dinamika kuasa di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) dari detik penubuhan ESKOM hinggalah kepada hala tuju masa depannya.
Sabah: “Benteng paling rapuh tetapi paling penting”
Dr. Ramli membuka perbincangan dengan kenyataan jujur tetapi menggetarkan: “Sekitar 70 peratus ancaman keselamatan Malaysia berpunca dari Sabah.”
Katanya, negeri itu berdepan pelbagai risiko dari tuntutan wilayah oleh Filipina, pertindihan maritim di Laut Sulawesi dan Ambalat, hinggalah ancaman bukan tradisional seperti penyeludupan manusia, penculikan, serta migrasi tanpa kawalan.
“Sabah ialah negeri paling rapuh tetapi pada masa sama paling strategik. Kita dikelilingi oleh zon konflik selatan Filipina, utara Kalimantan dan Laut China Selatan. Justeru perhatian dan peruntukan keselamatan kepada Sabah mesti lebih besar dan lebih tersasar,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa keselamatan Sabah tidak boleh diukur semata-mata melalui kehadiran tentera atau angka statistik, tetapi melalui rasa aman rakyat dan kecekapan pengurusan krisis.
Dari senjata ke manusia: paradigma baharu keselamatan
Dr. Ramli turut menekankan bahawa pendekatan keselamatan Sabah perlu berubah daripada tumpuan tradisional berbentuk ketenteraan kepada pendekatan yang lebih menyeluruh berasaskan “keselamatan manusia” (human security).
“Keselamatan bukan hanya tentang rondaan, radar atau senjata. Ia juga tentang manusia bagaimana kita mendidik, melibatkan dan melindungi masyarakat di sempadan. Penduduk tempatan ialah mata dan telinga kerajaan,” ujarnya.
Beliau memberi contoh bagaimana pos keselamatan atau kem tentera yang diwujudkan di kawasan pedalaman atau pantai timur bukan sahaja membawa aspek kawalan keselamatan, tetapi juga pemangkin kepada pembangunan infrastruktur, jalan raya dan ekonomi tempatan.
“Kalau pos tentera hadir, maknanya jalan raya dibina, elektrik dan air diperluas. Ini membina rasa kepercayaan dan keterikatan rakyat terhadap negara,” katanya.
Komuniti sempadan dan dilema Bajau Laut
Episod ini turut menyentuh isu sensitif berkaitan komuniti Bajau Laut dan masyarakat rentas sempadan di kawasan ESSZONE. Menurut Dr. Ramli, banyak daripada mereka sebenarnya sudah menetap berkurun lamanya di perairan Sabah sebelum sempadan moden diwujudkan.
“Mereka bukan orang luar, tetapi terperangkap dalam sempadan buatan manusia yang dibentuk penjajah. Kita perlu faham konteks ini jika mereka dipinggirkan, mereka boleh menjadi mangsa eksploitasi jenayah rentas sempadan.”
Beliau menambah bahawa dasar keselamatan negara mesti menyeimbangkan antara kepentingan negara dan hak kemanusiaan, supaya tindakan keselamatan tidak menafikan realiti sosial masyarakat perairan Sabah.
“Kalau kita gagal urus komuniti ini dengan berhemah, suatu hari nanti mereka bukan lagi tenaga kerja kita, mereka akan jadi ancaman kepada kita,” tegasnya.
Pujian kepada ESKOM dan pendekatan baharu KDN
Sejak ditubuhkan pada 2013, ESKOM telah memainkan peranan besar dalam mempertahankan Sabah Timur.
Antara pencapaian utama yang disebut dalam episod tersebut ialah kejayaan menggagalkan 59 cubaan penculikan, menahan lebih 16,000 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan menghalang lebih 500 bot nelayan asing sejak 2013.
Dr. Ramli memuji kecekapan operasi dan koordinasi ESKOM yang berjaya mewujudkan “jaminan psikologi” kepada penduduk pantai timur Sabah, yang kini lebih yakin terhadap keselamatan kawasan mereka.
“Apabila rakyat kata ‘kami ada ESKOM, kami selamat’, itu tandanya jaminan keselamatan telah benar-benar dirasai,” ujarnya.
Namun beliau turut menegaskan bahawa untuk memastikan keberkesanan jangka panjang, ESKOM perlu dilihat sebagai pasukan elit negara, bukan sekadar unit sokongan.
“ESKOM mesti jadi simbol keunggulan, hanya pegawai terbaik perlu ditempatkan di sana. Kita tak mahu ia jadi tempat pertukaran atau buangan pegawai,” katanya lagi.
Dalam konteks dasar nasional, beliau turut mengiktiraf pembaharuan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di bawah Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, yang disifatkan membawa pendekatan lebih menyeluruh dan berorientasikan manusia.
“Banyak perubahan positif di bawah Saifuddin, pindaan undang-undang kewarganegaraan, peningkatan kedudukan Malaysia dalam laporan Human Trafficking, pelaksanaan pelan menentang keganasan MyPCVE, pengurangan kesesakan penjara dan fokus terhadap keselamatan maritim,” kata Dr. Ramli.
Beliau menambah bahawa pendekatan ini selari dengan falsafah Kerajaan Madani, yang menggabungkan keselamatan, kemanusiaan, dan reformasi institusi dalam satu kerangka dasar.
“Ini bukan sekadar mengawal ancaman, tetapi membina keyakinan rakyat. Ia selaras dengan arus keselamatan moden di mana ‘keselamatan manusia’ menjadi asas kepada kestabilan negara,” jelasnya.
Perlu kesinambungan dasar dan pelibatan rakyat
Menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 yang bakal diadakan November ini, Dr. Ramli mengingatkan bahawa faktor keselamatan tidak boleh dipolitikkan. Sebaliknya, isu keselamatan perlu dilihat sebagai tanggungjawab bersama semua lapisan masyarakat.
“Selagi wujud kesedaran dan kerjasama antara kerajaan, agensi keselamatan dan komuniti setempat, Sabah akan kekal aman dan berdaulat,” katanya menutup perbincangan. -Suara.TV
Nota:
SmartTalk Sabah ialah sebuah podcast analitik berbahasa Melayu dan Inggeris yang memfokuskan kepada isu-isu strategik, keselamatan, politik dan pembangunan Sabah.



