KUALA LUMPUR, — Warga kota bakal berhadapan sekatan jalan raya berperingkat bermula minggu hadapan, menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dijadual berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober ini.
Langkah itu merupakan kesinambungan kepada prosedur kawalan lalu lintas yang pernah dilaksanakan ketika Sidang ASEAN ke-46 pada Mei lalu, di mana beberapa lebuh raya utama dan jalan di sekitar pusat bandar dikawal sementara bagi memberi laluan kepada pergerakan pemimpin dunia dan konvoi rasmi.
Antara jalan yang akan ditutup secara berperingkat kali ini termasuk Jalan Sultan Ismail, Jalan P. Ramlee, Jalan Pinang, Jalan Binjai, Persiaran KLCC, Jalan Tun Razak, Jalan Parlimen, Jalan Bukit Bintang, Jalan Imbi, Jalan Damansara, Jalan Istana, Jalan Kuching dan Jalan Perak.
Beberapa persimpangan utama di kawasan segitiga emas turut dijangka terkesan, antaranya:
- Persimpangan Jalan Ampang–Jalan P. Ramlee
- Persimpangan Jalan Sultan Ismail–Jalan P. Ramlee
- Persimpangan Jalan Perak–Jalan Pinang
- Persimpangan Jalan Stonor–Persiaran KLCC
Selain itu, laluan dari KLIA dan Subang ke pusat bandar serta beberapa lebuh raya seperti MEX, NKVE, ELITE, Guthrie dan KL–Seremban akan ditutup sementara bagi memberi laluan kepada konvoi rasmi.
Berdasarkan makluman pihak pihak berkuasa mengenai penutupan jalan, langkah ini tidak melibatkan penutupan penuh sepanjang masa, sebaliknya sekatan dilaksanakan secara berperingkat (rolling closure) mengikut jadual pergerakan delegasi.
Kawasan segitiga emas dijangka mengalami kesesakan paling ketara sepanjang sidang berlangsung. Orang ramai disaran menggunakan pengangkutan awam seperti MRT, LRT, Monorel dan bas bandar, serta mengelakkan pemanduan ke pusat bandar kecuali atas urusan penting.
Maklumat terkini mengenai sekatan trafik boleh diperoleh melalui portal rasmi ASEAN 2025 di www.myasean2025.my dan laman Facebook Aseanmy.
Sidang Kemuncak ASEAN 2025 menandakan kemuncak kepengerusian Malaysia bagi tahun ini, dengan kehadiran kesemua 10 pemimpin ASEAN serta rakan dialog antarabangsa termasuk Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.-SUARA.TV



