Otak beku pembangkang yang tempang bukannya Belanjawan 2026 – Mahfuz

KUALA LUMPUR – Belanjawan 2026 dinilai sebagai belanjawan berpijak kepada realiti rakyat bukannya tempang seperti didakwa pembangkang.

Justeru Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar membidas yang tempang bukan bajet tapi pemikiran otak beku pembangkang.

“Belanjawan 2026 menunjukkan keberanian melaksanakan reformasi bersasar: penstrukturan subsidi, digitalisasi perkhidmatan awam, cukai progresif, dan langkah menurunkan defisit.

“Itu semua bukan kerja orang penakut.Yang benar benar tempang ialah pembangkang yang masih hidup dalam nostalgia lama, menganggap ekonomi boleh diurus dengan mikrofon dan mimpi,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Tegas Mahfuz, kerajaan hari ini memilih keberanian yang berimbang bukan keberanian membabi buta.

“Belanjawan ini berpijak pada realiti rakyat, bukan bayangan angan angan MP kotak kasut berlagak pakar ekonomi yang pandai bercakap tetapi gagal membaca angka.

“Kebodohan paling besar ialah bila orang pandai bercakap ekonomi, tapi tak tahu membezakan antara fakta dan fantasi,” bidas beliau.

Mahfuz berkata demikian merujuk kenyataan Ahli Parlimen Bachok Syahir Sulaiman yang kononnya menilai Belanjawan 2026 sebagai “tempang” dan “tidak cukup berani.”

“Malangnya, yang kelihatan tempang bukan Bajet 2026 tetapi cara kepala otak beliau membaca bajet negara dengan mata politik, bukan dengan akal ekonomi. Beliau mendakwa bajet ini “tidak seimbang” dan “berunsur pra pilihanraya ”, tetapi tidak mengemukakan sebarang data, angka, atau analisis fiskal untuk menyokong tuduhan itu.

“Kalau beginilah tahap “pakar ekonomi” pembangkang, maka tidak hairan ekonomi mereka dulu pun pincang bila memerintah penuh retorik, kosong macam karipap tak cukup inti,” selar beliau.

Menurut Mahfuz, apabila tiada fakta, dakwaan bahawa negeri pembangkang seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah “tidak menikmati pembangunan seimbang” hanyalah suara pom pang pom pang tanpa angka.

Tegas beliau, Belanjawan 2026 jelas memperuntukkan pelbagai projek di negeri-negeri tersebut termasuk bekalan air, lebuh raya, dan program agromakanan.

“Tapi nampaknya beliau lebih gemar menghafal slogan daripada membaca jadual peruntukan. Kalau hendak bercakap soal keadilan wilayah, bacalah angka dulu. Jangan menuduh sebelum semak dokumen rasmi Kementerian Kewangan. Ilmu ekonomi bukan tentang rasa tidak puas hati, tetapi tentang fakta,” katanya.

Mahfuz memberitahu lagi, kerajaan hari ini menurunkan defisit kepada 3.5 peratus sambil terus membantu rakyat melalui subsidi bersasar dan bantuan tunai. Itu keberanian sebenar, berani seimbang antara disiplin fiskal dan kebajikan rakyat.

“Yang tidak berani ialah kerajaan dulu yang kononnya pandai tetapi akhirnya menambah hutang, menabur janji populis dan akhirnya tumbang sebelum sempat menunaikan separuh daripada rancangan sendiri.

“Kalau benar mahu “belanjawan berani”, adakah MP Bachok mencadangkan kerajaan naikkan cukai rakyat? Potong subsidi minyak? Berhenti bantu petani dan nelayan?

“Berani membebankan rakyat bukan keberanian itu kebodohan yang berlagak cendekiawan. Bila gagal memahami keseimbangan fiskal, jangan pura-pura pakar.

Belanjawan bukan manifesto parti. Ia mesti berpaksikan angka, defisit, dan tanggungjawab. Bila kerajaan membentang bajet dengan dasar fiskal terkawal, beliau kata “tak cukup berani”. Tapi bila kerajaan dulu belanja semberono tanpa kawalan, rakyat yang menanggung akibatnya.

“Inilah masalah pembangkang hari ini , cakap tentang perubahan, tapi bila diberi kuasa, kabinet lori sampah yang dibawanya.

“Kata mereka bajet ini “bunga-bunga pilihan raya”. Hairan bila kerajaan bantu rakyat, dikata beli undi; bila kerajaan tak bantu, dikata zalim.

“Kalau ikut logik MP Bachok, kerajaan sepatutnya jangan buat apa-apa supaya pembangkang boleh kekal menuduh tanpa malu,” katanya.

Sebelum itu Syahir berkata, Belanjawan 2026 mencerminkan usaha disiplin fiskal yang wajar, namun berisiko mengehadkan ruang bagi pembangunan strategik yang diperlukan untuk menjana pertumbuhan jangka panjang. Malah katanya, Belanjawan 2026 dilihat suatu permulaan yang tempang untuk memenuhi aspirasi jangka panjang RMK13.

Persoalannya yang dibangkitkan ahli Parlimen Bachok itu, adakah Belanjawan 2026 benar-benar berani membetulkan asas ekonomi negara, atau sekadar menabur ‘bunga-bunga’ menjelang pilihan raya?

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat