KUALA LUMPUR – Proses naturalisasi tujuh pemain bola sepak kebangsaan yang menjadi pertikaian Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sebelum ini telah dibuat mengikut Perlembagaan Persekutuan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pemberian status warganegara kepada semua pemain itu memenuhi tiga syarat yang termaktub dalam Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 20(1)(e) Jadual Kedua Kaedah-Kaedah Kewarganegaraan 1964.
Selain itu jelas beliau, proses itu dibuat mengikut Seksyen 10(a) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 bagi proses pendaftaran kelahiran.
“Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa seseorang boleh memohon untuk menjadi warganegara Malaysia dengan memenuhi tiga rukun iaitu bermastautin secara tetap di Malaysia, berkelakuan baik dan penguasaan Bahasa Melayu yang memuaskan.
“Kemudian, dalam Seksyen 20(1)(e) Jadual Kedua Kaedah-Kaedah Kewarganegaraan 1964 memberi peruntukan memberi kuasa budi bicara kepada menteri untuk menganggap seseorang itu telah bermastautin walaupun individu itu hanya berada dalam negara sehari,” katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Zakri Hassan (PN-Kangar) yang meminta kerajaan menyatakan proses kelayakan serta kriteria seorang pemain naturalisasi.
Sebelum ini, FIFA mendedahkan butiran penuh berhubung keputusan menghukum FAM dan tujuh pemain warisan Harimau Malaya selepas mendapati wujud ketidakselarasan dalam dokumen asal pendaftaran pemain.
Menurut laporan rasmi bertajuk Notification of the Grounds of the Decision bertarikh 6 Oktober 2025, Jawatankuasa Tatatertib FIFA menjelaskan bahawa hukuman itu dikenakan berdasarkan pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA yang membabitkan isu pemalsuan dan pengubahan dokumen rasmi.
Siasatan mendapati beberapa sijil kelahiran datuk dan nenek pemain yang dikemukakan oleh FAM tidak sepadan dengan rekod rasmi negara asal masing-masing.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, berhubung pertikaian yang dibangkitkan FIFA, ia perlu diselesaikan antara badan bola sepak antarabangsa itu dan juga Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), lapor Utusan.
“Soal FIFA Statut dan peraturan yang berkait dengan pemain warisan atau pertikaian lain, biarkan mereka selesaikan,” katanya yang turut memberitahu setakat ini seramai 23 orang pemain telah menerima taraf warganegara.



