King Sing ulang penegasan acara hidang arak anjuran swasta cuma guna logo MOTAC

KUALA LUMPUR – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing kesal terhadap kekeliruan dan salah faham yang masih timbul susulan dakwaan hidangan arak dalam satu majlis makan malam bersama penggiat industri pelancongan luar negara baru-baru ini.

Menurut beliau, pihaknya amat mengambil berat pandangan rakyat berhubung isu tersebut dan menegaskan, majlis berkenaan bukan acara rasmi kerajaan.

“Saya dan MOTAC menyesali sebarang kekeliruan dan salah faham yang menimbulkan ketidakpuasan hati di kalangan rakyat. Sekali lagi, kesulitan amat dikesali,” katanya dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat pada Khamis.

King Sing berkata demikian menjawab soalan tambahan Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun).

Beliau menjelaskan, majlis makan malam itu dihadiri kira-kira 600 penggiat industri pelancongan luar negara dan dianjurkan sepenuhnya oleh pihak swasta sebagai usaha mempromosikan sektor pelancongan negara.

Majlis itu juga, katanya berjaya memeterai potensi jualan pelancongan bernilai RM100 juta.

“Penggiat pelancongan ambil alih cuma persiapan, ini tidak lagi jadi makan malam rasmi. Cuma logo kita,” jelas beliau.

Menurut King Sing, majlis berkenaan tidak tertakluk kepada Pekeliling Perkhidmatan 3/2003 kerana ia bukan acara rasmi kerajaan.

“Saya tekankan majlis makan malam itu bukan rasmi tapi anjuran swasta, oleh itu pekeliling perkhidmatan 3/2003 tidak terpakai dan isu berkaitan arak tidak sepatutnya timbul,” tegasnya lapor MalaysiaGazette.

Semalam, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memberitahu pihaknya mengambil iktibar daripada kejadian menghidangkan arak dalam acara rasmi kerajaan dan akan memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang.

Dalam satu kenyataan hari ini, MOTAC memaklumkan pihaknya akan memastikan setiap pelaksanaan program di bawah seliaannya mematuhi garis panduan serta etika yang ditetapkan.

Ia selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran keras kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing serta kementerian itu supaya memastikan bahawa kesilapan menghidangkan arak dalam acara rasmi kerajaan tidak berulang.

Katanya, penjelasan kementerian bahawa minuman keras hanya dihidangkan selepas selesai acara rasmi adalah tidak wajar kerana dasar kerajaan secara tegas tidak membenarkan ia dihidangkan sama sekali.

Sebelum ini, tular gambar memaparkan program didakwa Global Travel Meet 2025 Gala Dinner di bawah Tourism Malaysia menyajikan minuman beralkohol namun King Sing menegaskan, pihak industri dan sektor swasta teruja dengan acara global yang julung kali dianjurkan itu sehingga menaja serta meraikan rakan-rakan industri antarabangsa melalui majlis makan malam berkenaan.

Katanya lagi, acara selama dua hari setengah dianjurkan dengan inisiatif pihak industri serta sektor swasta itu berjaya menjana impak ekonomi bernilai RM420 juta.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat