Jeffrey beri lima ADUN masa ubah pendirian hingga esok

KOTA KINABALU — Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan memberi tempoh sehingga esok kepada lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang masih menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk menukar pendirian mereka.

Menurut beliau, sekiranya tiada perubahan dibuat selepas tempoh itu, kerusi berkenaan akan diserahkan kepada calon baharu bagi menghadapi pilihan raya negeri akan datang.

“Kita bagi masa sampai esok. Selepas itu, kerusi itu akan kita serahkan kepada calon-calon baharu.

“Ini peluang untuk orang muda dan pejuang baharu yang berkemampuan membawa pembaharuan,” katanya ketika ditemui media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), petang ini.

Jeffrey berkata, keputusan STAR keluar daripada GRS dibuat selepas mendengar suara rakyat di semua peringkat masyarakat yang mahukan perubahan dan keadilan untuk Sabah.

“Kita keluar daripada GRS kerana kita mendengar suara rakyat. Semua lapisan masyarakat sama ada dalam talian, di kedai kopi atau dalam pertemuan — menyatakan perkara sama.

“Itu sebab kita buat keputusan ini. Kita tidak boleh melawan suara rakyat kerana mereka yang menentukan masa depan Sabah,” jelasnya.

Beliau menegaskan, STAR kini bersedia menghadapi pilihan raya negeri dengan semangat baharu dan naratif perjuangan berasaskan slogan ‘Justice for Sabah’, yang menekankan keadilan dan hak rakyat negeri itu.

“Kita mahu menghadapi pilihan raya dengan sentimen rakyat siapa pun kita perjuangkan keadilan untuk Sabah.

“Kita mahu semua rakyat Sabah faham, sebab selama 62 tahun kita ketinggalan walaupun kita kaya,” katanya.

Tambahnya, STAR akan menandingi semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri bersama rakan-rakan pembangkang lain dalam pakatan yang sedang dimuktamadkan.

“Kita bertanding semua 73 kerusi bersama rakan-rakan pembangkang. Kita mahu bersatu seperti Sarawak bila bersatu, mereka kuat dan boleh mendapatkan apa yang mereka inginkan,” katanya.

Mengulas hubungan dengan parti pembangkang lain termasuk Warisan dan parti blok pembangkang, Jeffrey menegaskan prinsip utama kini ialah kesatuan dan kepimpinan yang berwibawa.

“Kita perlu bersatu dan ada pimpinan yang berwibawa. Lihat Sarawak bila mereka bersatu, mereka jadi kuat. Sabah pun boleh. Kita mahu hubungan setara, bukan di bawah,” tegasnya.

Jeffrey turut berkata perjuangan STAR kekal untuk memastikan Sabah mampu mengurus negeri sendiri serta mempunyai kedudukan setara dalam pembinaan negara.

“Sabah bukan lagi negeri nombor dua belas. Kita kini kuasa kedua dalam nation building, dan tidak lama lagi mungkin kuasa ketiga,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat