KUALA LUMPUR — Presiden dan CEO Petronas, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz tampil memohon maaf susulan tindakannya terlibat dalam sambutan ‘champagne shower’ selepas kemenangan pasukan Mercedes-AMG Petronas F1 di Grand Prix Singapura yang dianggap tidak sesuai baru baru ini.
Beliau menjelaskan bahawa meskipun tidak mengambil sebarang minuman keras ketika majlis berkenaan, beliau mengakui keterujaannya dalam meraikan kejayaan pasukan tidak sepatutnya dilakukan dalam bentuk sedemikian.
“Saya sedar bahawa keterujaan spontan saya semasa meraikan kemenangan pasukan mungkin tidak bersesuaian dengan tempatnya.
“Saya tidak mengambil sebarang minuman keras, namun sebagai seorang Muslim, saya akur bahawa saya seharusnya tidak terlibat dalam sebarang bentuk sambutan sedemikian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tengku Muhammad Taufik turut memohon maaf kepada semua pihak yang tersinggung dengan tindakannya itu serta menegaskan beliau bertanggungjawab sepenuhnya atas perbuatannya.
“Saya ingin memohon maaf atas perbuatan saya yang secara tidak sengaja telah menyinggung perasaan dan saya mengambil sepenuh tanggungjawab di atas segala tindakan saya,” ujarnya.
Dalam kenyataannya, beliau turut menyatakan penghargaan terhadap kepercayaan dan sokongan berterusan yang diberikan kepada pasukan MAMG PETRONAS F1 yang terus mencipta kecemerlangan di pentas sukan permotoran dunia.
Beliau berkata kejayaan yang diraih pasukan hasil kerjasama strategik antara PETRONAS dan Mercedes-AMG menjadi bukti keupayaan Malaysia dalam bidang inovasi tenaga serta kejuruteraan berteknologi tinggi.
“Berkat usaha gigih PETRONAS, kejayaan yang dikecapi sekarang dan kecemerlangan yang bakal dicapai di masa akan datang dalam era bahan api mampan mampu membuktikan kebolehan dan keunggulan inovasi ciptaan Malaysia,” tambahnya
Sebelum ini, tular rakaman video memperlihatkan Tengku Muhammad Taufik berada di podium Formula 1 di Singapura meraikan kemenangan pelumba, George Russel dengan ‘champagne shower’ pada GP Singapura, Ahad lalu.
Beliau diberi penghormatan untuk menerima trofi kemenangan konstruktor bagi pihak pasukan sebagai tanda kejayaan yang telah lama dinanti dalam musim perlumbaan F1 tahun ini.
Insiden tersebut mendapat kecaman daripada pelbagai pihak dengan mengkritiknya sebagai muslim yang haram meminum arak.



