KUALA LUMPUR – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Seri Tiong King Sing enggan mengulas lanjut berkenaan kontroversi yang melanda kementerian beliau ketika ini.
Ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Forum Peringkat Tinggi Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC) 2025 , King Sing hanya menjawab: “Aku (saya) sudah jawab…cukuplah.”
MOTAC kini berdepan kontroversi antaranya berhubung dakwaan menjalin kerjasama secara terbuka dengan syarikat Starbucks Malaysia, iaitu syarikat yang kini sedang menjadi tumpuan kempen boikot oleh masyarakat dunia, khususnya umat Islam.
Selain itu, MOTAC juga berdepan kritikan keras dari pelbagai pihak berhubung dakwaan menyediakan hidangan minuman beralkohol dalam sebuah majlis rasmi kerajaan anjuran Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) baru-baru ini,” lapor MalaysiaGazette pada Selasa.
Bagaimanapun, King Sing sebelum ini berkata, Tourism Malaysia hanya bertanggungjawab menganjurkan acara Global Travel Meet selama dua hari setengah itu, manakala acara makan malam yang melibatkan hidangan alkohol sebenarnya inisiatif pihak industri dan sektor swasta.



