AGC tolak representasi Muhyiddin untuk batal 7 pertuduhan jenayah

KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak permohonan representasi yang dikemukakan oleh bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membatalkan kesemua tujuh pertuduhan jenayah terhadapnya.

Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin pada sebutan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, K. Muniandy hari ini.

Menurut beliau, AGC menolak representasi dikemukakan pasukan peguam Muhyiddin pada 22 Ogos lalu berhubung permohonan menggugurkan empat pertuduhan salah guna kedudukan berjumlah RM232.5 juta dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) berjumlah RM200 juta.

Representasi itu dihantar oleh pasukan pembelaan yang diketuai peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik pada 19 Ogos lalu.

Dalam prosiding sama, Wan Shaharuddin turut memohon supaya semua pertuduhan dibicarakan bersama dan memaklumkan bahawa pihak pendakwaan bersedia untuk memulakan perbicaraan seawal Januari 2026.

Bagaimanapun, Hisyam yang mewakili Muhyiddin memberitahu bahawa pihaknya mempunyai kekangan jadual dan hanya berkelapangan untuk perbicaraan pada Mei atau Jun tahun depan, lapor Utusan pada Selasa.

Pihak pembelaan juga memaklumkan bahawa mereka telah menerima dokumen berkaitan daripada pendakwaan, kecuali penyataan saksi.

Susulan itu, Hakim Muniandy menetapkan 10 November ini sebagai tarikh pengurusan kes (case management) bagi menentukan tarikh perbicaraan.

Beliau turut membenarkan permohonan pendakwaan supaya Muhyiddin dikecualikan hadir pada sebutan kes akan datang.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita di pekarangan mahkamah, Wan Shaharuddin mengesahkan bahawa pihak pendakwaan sudah bersedia untuk memulakan perbicaraan secepat mungkin.

Beliau berkata, sebanyak 30 penyataan saksi telah dilengkapkan dan semua saksi berkenaan akan dipanggil memberi keterangan semasa perbicaraan nanti.

Antara saksi yang dijangka dipanggil ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Muhyiddin, 78, yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), berdepan empat pertuduhan menyalahgunakan kuasa dengan meminta suapan berjumlah RM232.5 juta daripada empat entiti kononnya sebagai dana politik parti menerusi projek Jana Wibawa.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Selain itu, beliau turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM200 juta yang dimasukkan ke dalam dua akaun milik Bersatu.

Transaksi berkenaan didakwa dilakukan di Ambank Cawangan Amcorp Mall, Petaling Jaya, pada 7 Januari 2022, serta di CIMB Bank Cawangan Menara KL Sentral, Kuala Lumpur, antara 25 Februari hingga 16 Julai 2021 dan 8 Februari hingga 8 Julai 2022.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat