Kerajaan Madani tak kompromi usaha banteras kartel pelbagai peringkat – Anwar

KUALA LUMPUR – Kerajaan tegas dengan pendirian tidak berkompromi dalam membanteras kewujudan kartel di pelbagai peringkat yang menjejaskan pentadbiran, ekonomi serta pembangunan negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata usaha berterusan kini sedang dilaksanakan bagi memperkukuh kawal selia dan meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan supaya ekosistem persaingan pasaran kekal adil, telus dan berdaya saing.

Menjelaskan demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam, beliau berkata, sehingga kini, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sudah mengambil tindakan terhadap 270 syarikat dengan jumlah penalti kewangan keseluruhan sebanyak RM687.4 juta.

“Selain itu, sebanyak 14 kes kartel bida membabitkan 563 syarikat serta satu kes kartel penetapan harga membabitkan 31 perusahaan sedang disiasat agensi berkenaan. Kerajaan MADANI sentiasa memberi perhatian serius dan tidak akan berkompromi dalam membanteras kewujudan kartel yang mengancam kelancaran pembangunan negara.

“Langkah berterusan kini adalah dengan meningkatkan keberkesanan kawal selia bagi memperkukuh ekosistem persaingan dan mencegah penyalahgunaan kedudukan dominan dalam pasaran selaras dengan teras tadbir urus baik di bawah Ekonomi Madani,” katanya.

Beliau menjawab soalan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) mengenai sejauh mana urusan pentadbiran dan ekonomi negara dipengaruhi kewujudan kartel di pelbagai peringkat serta langkah pencegahan dan penguatkuasaan yang diambil kerajaan.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun, berkata antara langkah utama yang diambil termasuklah dengan memperkasakan tindakan penguatkuasaan merentasi pelbagai kementerian dan agensi seperti MyCC, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

“MyCC yang ditubuhkan bagi menguatkuasakan Akta Persaingan 2010 (Akta 712), mempunyai kuasa memulakan siasatan melalui empat kaedah utama iaitu inisiatif sendiri (ex officio), aduan awam, arahan menteri, serta rejim kelonggaran (leniency regime) bagi mendapatkan maklumat daripada pihak terbabit dalam aktiviti antipersaingan.

“Agensi itu juga melaksanakan tujuh kajian pasaran strategik dalam sektor seperti pertanian, pengangkutan dan perkhidmatan bagi mengenal pasti isu persaingan serta mencadangkan dasar yang sesuai untuk memastikan pasaran kekal sihat dan berdaya saing,” katanya.

Selain MyCC, kerajaan turut memberi jaminan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diberi kebebasan sepenuhnya untuk menyiasat sebarang aduan berkaitan kartel, sekali gus membuktikan iltizam kerajaan dalam membela kepentingan rakyat dan memastikan persaingan pasaran yang adil.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat