KUALA LUMPUR -Dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang juga pendakwah selebriti Prof Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim menyelar Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing yang mendakwa penganjuran majlis makan malam dalam program Global Travel Meet 2025 merupakan inisiatif daripada pemain industri dan sektor swasta.
Beliau mengingatkan King Sing agar menghormati penjawat awam yang bertugas di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
“Oh… Saya baru tahu program anjuran kerajaan boleh diambil alih oleh pihak swasta untuk hidang arak!
“Harap Menteri kontroversi ni tolong la hormat penjawat awam bawah kementerian tu…
“PMX sibuk buat kerja, dia sibuk buat kontroversi,” bidas Izhar Ariff dalam hantaran di Facebooknya.
Beliau malah menyatakan sokongan terhadap kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk membawa perkara majlis makan malam ini ke dalam Kabinet.
King Sing sebelum itu berkata, penganjuran majlis makan malam dalam program Global Travel Meet 2025 merupakan inisiatif daripada pemain industri dan sektor swasta.
Menurut King Sing, pada peringkat awal, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bersama Tourism Malaysia berperanan sebagai penganjur utama. Namun, selepas melihat potensi besar program tersebut dalam menarik peluang perniagaan, pihak industri swasta tampil secara sukarela untuk mengambil alih penganjuran acara makan malam berkenaan.
Menurutnya, Ketua Pengarah Tourism Malaysia telah memaklumkan kepadanya mengenai perubahan itu dan mendapatkan persetujuan rasmi bagi membolehkan pihak swasta menerajui penganjuran acara tersebut.
“Sudah tentu saya bersetuju kerana ia membantu menjimatkan perbelanjaan kerajaan. Justeru, saya tidak nampak apa-apa yang salah dengan perkara ini.
“Apabila pemain industri menyatakan minat mereka untuk menganjurkan majlis makan malam gala, kami berkata, ‘Kami berbesar hati! Sila dan teruskan.’
“Jika mereka sanggup menanggung kos dan membantu mengurangkan beban kewangan kerajaan, mengapa pula kita tidak menyokongnya?” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, mendakwa terdapat minuman beralkohol dihidangkan dalam majlis makan malam gala tersebut sehingga menyebabkan tetamu beragama Islam meninggalkan program lebih awal.
King Sing pada Sabtu menafikan dakwaan berkenaan dan menegaskan bahawa Tourism Malaysia hanya bertanggungjawab menguruskan program Global Travel Meet selama dua hari setengah, bukan acara makan malam.
Ahli Parlimen Bintulu itu berkata, hasil daripada penglibatan aktif sektor swasta berkenaan, pelbagai prospek antarabangsa dan tempatan mula membeli pakej pelancongan dalam jumlah besar dengan nilai transaksi perniagaan direkodkan mencecah RM420 juta.
“Seperti yang saya nyatakan semalam (Sabtu), pemain industri dan sektor swasta yakin bahawa mereka sebenarnya boleh mendapatkan tawaran perniagaan yang lebih besar semasa acara Global Travel Meet itu.
“Menyedari peluang yang tidak dijangka ini, mereka begitu teruja dan menawarkan diri secara sukarela untuk mengambil alih serta menganjurkan majlis makan malam gala itu sendiri,” ujarnya.



