KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia perlu teliti dan cerewet dalam menilai pelan damai yang dicadang Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump itu bukanlah kerana kita hendak menjadi lebih Hamas daripada Hamas itu sendiri.
Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim mengingatkan, apa yang penting Kerajaan Malaysia jangan terlalu mudah; jangan terburu-buru dan jangan beri cek kosong terhadap Pelan Damai 20 perkara Presiden Donald Trump itu.
“Kita memang teruja dengan cadangan Trump yang menjanjikan perang tamat segera di Gaza dan keamanan untuk rakyat Gaza dapat dicapai.
“Tetapi soalnya kalau Trump benar jujur tentang keamanan di Gaza untuk menyelamatkan nyawa rakyat Palestin maka kenapa Trump dan Amerika Syarikat berturut-turut sebanyak enam kali dalam masa dua tahun perang berlangsung telah menggunakan kuasa vetonya ke atas 6 resolusi untuk menggagalkan gencatan senjata di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Kerana pendirian Trump dan Amerika Syarikat yang menyokong regim zionis Israel itulah maka seramai lebih 66,000 rakyat Palestin telah dibunuh oleh tentera Israel,” tegas Hassan memberi peringatan memandangkan Perdana Menteri akan menjawab di Dewan Rakyat soalan tentang apakah pendirian kerajaan Malaysia terhadap Pelan Damai 20 Perkara oleh Presiden Trump untuk Perdamaian di Gaza antara Israel dan Hamas hari ini.
Justeru wakil rakyat PKR itu berkata lagi, Perdana Menteri Malaysia dan Wisma Putera boleh menyemak 20 perkara pelan damai Trump untuk Gaza.
“Lihat satu persatu.Jelas tidak ada peranan rakyat Palestin untuk menentukan masa depan mereka sendiri dalam pelan damai itu.Sebaliknya Trump melantik dirinya sendiri sebagai pengerusi satu badan penyelia antarabangsa yang anggota jawatankuasanya termasuk mantan Perdana Menteri Britain Tony Blair yang pernah bersama-sama George W.W.Bush, Presiden Amerika Syarikat bertanggungjawab memusnahkan Iraq dalam perang pada tahun 2003.
“Kerajaan Malaysia perlu berwaspada supaya tidak tertipu dengan helah Presiden Trump dan Perdana Menteri Israel Benjamin Nentanyahu atas nama pelan damai 20 perkara itu.
“Nentanyahu dengan terang-terang telah menyatakan kepada rakyat Israel bahawa tentera Israel tidak akan berundur dari wilayah yang telah ditakluknya dan dia Nentanyahu tidak bersetuju wujudnya sebuah negara Palestin merdeka.Ertinya Perdana Menteri Israel itu secara terang lagi bersuluh tidak menerima perkara-perkara asas yang dinyatakan dalam pelan damai Trump 20 perkara itu.
“Kesimpulannya diharapkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kerajaan Malaysia jangan tergesa-gesa menyokong rancangan damai 20 perkara Trump itu yang jelas mencurigakan dalam banyak perkara, ” katanya.



