FAM kemuka rayuan rasmi kepada FIFA berhubung isu kelayakan tujuh pemain kebangsaan

KUALA LUMPUR, – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan telah menerima dokumen penghakiman penuh daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung keputusan tatatertib melibatkan isu dokumentasi kelayakan tujuh pemain kebangsaan.

Dalam kenyataan rasmi hari ini, FAM memaklumkan pihaknya akan mengemukakan rayuan rasmi melalui saluran undang-undang yang ditetapkan oleh FIFA.

“Semua dokumen serta bukti sokongan berkaitan isu ini telah lengkap sepenuhnya dan sedia untuk dikemukakan kepada FIFA dengan kadar segera melalui saluran rasmi,” kata kenyataan itu.

FAM turut menyatakan kebimbangan terhadap beberapa kesimpulan dalam keputusan FIFA, khususnya dakwaan bahawa para pemain terbabit memperoleh dokumen palsu atau sengaja mengelak peraturan kelayakan.

“Tiada sebarang bukti yang menyokong dakwaan ini telah dikemukakan oleh FIFA. Segala dokumentasi dan penyerahan kelayakan pemain telah disediakan, disahkan, dan diuruskan sepenuhnya oleh FAM mengikut prosedur yang ditetapkan,” tegas kenyataan itu.

FAM menegaskan bahawa para pemain telah bertindak dengan penuh niat baik dan bergantung sepenuhnya kepada proses pengesahan serta pendaftaran rasmi oleh FAM. Oleh itu, badan induk bola sepak negara itu menyifatkan gambaran yang diberikan sebagai tidak tepat dan tidak adil, dan akan menentangnya melalui proses rayuan rasmi.

“FAM kekal komited mempertahankan kepentingan bola sepak negara, melindungi hak pemain, dan memastikan proses ini dijalankan secara telus serta mengikut peraturan,” tambah kenyataan itu lagi.

Dalam masa yang sama, FAM menegaskan bahawa kes ini turut melibatkan maklumat rasmi berkaitan prosedur kerajaan Malaysia dalam pengeluaran dan pengesahan pasport.

Sehubungan itu, FAM menjelaskan bahawa pihaknya terikat dengan peruntukan Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Akta Pasport 1966, yang melarang sebarang pendedahan bahan atau proses tersebut tanpa kebenaran.

“Oleh itu, FAM hanya akan berkongsi maklumat berkenaan dengan pihak FIFA bagi tujuan kes ini sahaja,” jelas kenyataan itu.

Bagaimanapun, berdasarkan dokumen penghakiman FIFA yang diterima, Jawatankuasa Tatatertib badan induk bola sepak dunia itu menegaskan beberapa penemuan utama berkaitan perbezaan maklumat dalam sijil kelahiran asal dan dokumen yang dikemukakan oleh FAM.

Dalam perenggan 46 laporan tersebut, FIFA menyatakan bahawa terdapat tujuh kes di mana dokumen asal menunjukkan lokasi kelahiran datuk atau nenek pemain sebenarnya berada di luar Malaysia termasuk di Sepanyol, Argentina, Brazil dan Belanda berbeza daripada maklumat yang dikemukakan oleh FAM yang menyatakan kelahiran berlaku di negeri-negeri seperti Melaka, Pulau Pinang, Johor dan Sarawak.

Antaranya, dokumen menunjukkan:

  1. Datuk atau nenek pemain Maria Belen Concepcion Martin dilahirkan di Santa de la Palma, Sepanyol (bukan Melaka).
  2. Carlos Rogelio Fernandez dilahirkan di Villa Maria Selva, Argentina (bukan Pulau Pinang).
  3. Omar Eli Holgado Gardon dilahirkan di Caseros, Buenos Aires (bukan Pulau Pinang).
  4. Concepcion Agueda Alaniz dilahirkan di Roldan, Argentina (bukan Pulau Pinang).
  5. Nair de Oliveira dilahirkan di Abre Campo, Brazil (bukan Johor).
  6. Gregorio Irazabal Lamiquiz dilahirkan di Villa de Guernica y Luno, Sepanyol (bukan Kuching).
  7. Hendrik Jan Hevel dilahirkan di The Hague, Belanda (bukan Melaka).

Sementara itu, dalam perenggan 47 laporan sama, Jawatankuasa Tatatertib FIFA turut merujuk kenyataan rasmi Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Malaysia yang difailkan oleh FAM sendiri.

Menurut FIFA, JPN mengesahkan bahawa pihak berkuasa Malaysia tidak pernah menerima sijil kelahiran asal bagi individu terbabit. Sebaliknya, salinan baharu dikeluarkan berdasarkan maklumat sekunder serta dokumen luar negara yang diperoleh dari Argentina, Brazil dan Sepanyol.

JPN juga mengakui tidak dapat mengesan rekod tulisan tangan asal dan hanya mengeluarkan salinan rasmi berasaskan bukti bahawa kelahiran pernah berlaku.

FIFA menyimpulkan bahawa pengakuan ini menimbulkan persoalan terhadap ketelitian proses pengesahan dokumen yang dijalankan oleh kerajaan Malaysia dan FAM, serta menjadi asas kepada keputusan tatatertib yang sedang dirayu oleh badan bola sepak negara itu.-Suara.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat