Pendakwaan sudah sedia hujah untuk rayuan di Mahkamah Persekutuan kes pembebasan Syed Saddiq

KUALA LUMPUR – Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin menegaskan, pendakwaan sudah bersedia dalam rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang melepas dan membebaskan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Syed Saddiq dilepas dan dibebaskan daripada sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta, berkait kesalahan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), pada 25 Jun lalu.

Wan Shaharuddin yang juga Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), ketika dihubungi media, berkata arahan Ketua Hakim Negara ialah supaya pendengaran rayuan itu ditetapkan pada hujung November atau awal Disember.

“Pihak perayu bersedia dan telah bersedia dengan hujahan yang sudah pun siap. Bagaimanapun, peguam responden (Syed Saddiq yang diwakili Datuk Hisyam Teh Poh Teik) memohon tarikh pada bulan Januari yang mana tidak dipersetujui oleh mahkamah.

“Mahkamah kemudian meminta kedua-dua belah pihak, terutama responden untuk menulis surat kepada mahkamah. Bagi pihak kami, kami telah bersedia sama ada Disember atau Januari.

“Mahkamah minta kami menulis surat dan akan menetapkan tarikh pengurusan kes yang baharu,” lapor Harian Metro pada Selasa.

Wan Shaharuddin berkata demikian selepas pengurusan kes rayuan berkenaan yang dijalankan melalui aplikasi Zoom di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Mahyun Yusof.

Sementara itu Hisyam ketika dihubungi media, mengesahkan perkara itu dan memberitahu, beliau memaklumkan kepada Timbalan Pendaftar, bahawa tarikh pendengaran rayuan yang sesuai bagi pihaknya ialah pada pertengahan hingga akhir bulan Januari.

Hisyam berkata, pihaknya diminta mahkamah untuk mengemukakan alasan dalam surat berkenaan, mengapa meminta tarikh pendengaran pada Januari.

Beliau berkata, responden juga diminta untuk memaklumkan kepada mahkamah, tarikh yang sesuai bagi pihaknya untuk prosiding rayuan terbabit. Katanya, surat itu akan dihantar kepada mahkamah hari ini.

Pada 22 September lalu, Pendakwa Raya selaku perayu memfailkan petisyen rayuan dengan mengemukakan 25 alasan mengapa Mahkamah Persekutuan sepatutnya mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang melepas dan membebaskan Syed Saddiq daripada sabitan dan hukuman berkenaan.

Keputusan Mahkamah Rayuan itu diputuskan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin yang sebulat suara membenarkan rayuan Syed Saddiq.

Sehubungan itu dalam petisyen rayuan berkenaan, Pendakwa Raya memohon kepada Mahkamah Persekutuan supaya keputusan Mahkamah Rayuan diketepikan dan perintah sabitan serta hukuman Mahkamah Tinggi sebelum ini terhadap responden dikembalikan.

Daripada 28 alasan melalui petisyen rayuan itu, 15 alasan berhubung pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan, sembilan alasan bagi tuduhan menyalahgunakan harta mengikut Seksyen 403 Kanun sama dan empat bagi dua tuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Antara lain, Pendakwa Raya menyatakan hakim terkhilaf apabila membebaskan Syed Saddiq, sedangkan pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah bagi pertuduhan persubahatan.

Hakim Mahkamah Rayuan juga dikatakan terkhilaf apabila memutuskan tiada kes prima facie, sedangkan perayu telah membuktikan semua elemen kesalahan persubahatan dengan keterangan yang berwibawa.

Pendakwaan berkata, mahkamah turut terkhilaf apabila beranggapan sabitan pengubahan wang haram tidak boleh berdiri tanpa kesalahan predikat, sedangkan Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 boleh berfungsi secara sendiri.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat