KUALA LUMPUR – Purata pendapatan bulanan isi rumah meningkat kepada RM9,155 pada 2024 berbanding RM7,901 pada 2019, menurut data awalan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah (HIES) 2024 yang diterbitkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dalam ucapan perasmian Minggu Ekonomi Dan Kewangan Awam (MEKA) 2025 bertemakan RMK13: Melakar Semula Pembangunan di sini hari berkata, insiden kemiskinan mutlak pula menunjukkan penambahbaikan, iaitu 5.8 peratus berbanding 8.4 peratus yang dicatatkan pada 2020 akibat pandemik COVID-19.
Sementara itu, beliau berkata, hasil HIES 2024 akan dibentangkan sebelum akhir Oktober 2025.
Amir Hamzah yang menjalankan tanggungjawab dan fungsi Menteri Ekonomi berkata, berdasarkan data awal kaji selidik itu menunjukkan perkembangan positif dari segi pendapatan isi rumah dan sasaran pengurangan kadar kemiskinan di negara ini.
Katanya, hasil HIES 2024 itu juga akan memberi gambaran jelas bahawa negara berada di landasan yang betul dalam meningkatkan pendapatan rakyat dan membasmi kemiskinan.
“Kami akan umumkan HIES (2024) sebelum akhir Oktober. Saya fikir anda akan melihat usul positif bahawa negara telahpun bergerak ke kerangka yang betul.
“Kita nampak penambahbaikan bukan saja daripada segi pendapatan, tetapi juga dari segi sasaran mengurangkan kemiskinan yang ada di dalam negara ini,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian MEKA 2025, lapor BH pada Selasa
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Nor Azmie Diron dan Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Datuk Dr Mohd Bakhari Ismail.



