Pada 28 September 2025, pihak media telah berpeluang menyertai sesi eksklusif media tasting yang dianjurkan oleh Pizzaiolo Kuala Lumpur, sebuah restoran yang menjadi bualan ramai kerana kepakaran mereka dalam menyediakan pizza kayu Api autentik. Terletak di 53 Jalan Wangsa Delima 5, Seksyen 5, Wangsa Maju, Kuala Lumpur, restoran ini berkonsepkan pizza moden dengan sentuhan tradisi, di mana oven kayu bakar dari pokok buah buahan yang menjadi rahsia di sebalik aroma dan rasa pizza yang luar biasa.
Melangkah masuk ke Pizzaiolo, pengunjung disambut dengan suasana hangat ala restoran Itali moden. Dinding dihias dengan sentuhan kayu dan jubin bergaya klasik Itali, lampu gantung dengan cahaya lembut menerangi ruang, manakala aroma kayu Api dari oven kayu manggis menyebar, membangkitkan selera dan rasa ingin tahu. Setiap meja disusun rapi dengan pinggan dan peralatan bersedia untuk menjamu selera, menjemput tetamu untuk menikmati pengalaman gastronomi autentik, sambil merasai kehangatan dan keintiman gaya Itali kontemporari

Sesi ‘tasting’ ini disusun dengan teliti, di mana pihak media dihidangkan empat pizza utama iaitu:
- Grilled Chicken Pesto – ayam panggang yang lembut berpadu dengan sos pesto segar. Gigitan pertama memberikan keseimbangan sempurna antara rasa herba dan keju cair, sementara doh kayu bakar yang rangup di tepi dan lembut di tengah menambah kepuasan setiap suapan.
- Tuna, Chili & Seaweed – piza ini benar-benar unik, menggabungkan rasa laut segar dengan pedas ringan. Aroma kayu manggis menambahkan kedalaman rasa yang membuatkan gigitan pertama terasa begitu kompleks dan memikat.
- Buffalina Beef – pilihan untuk pencinta daging. Daging premium yang lembut dicampur keju cair, menghasilkan kombinasi klasik yang tak pernah gagal memuaskan. Suapan pertama menyerlahkan kelembutan daging, keju yang meleleh, dan aroma kayu bakar yang pekat.
- Bianca Ala Tartufo (Truffle White Pizza) – mewah dan elegan, pizza ini memikat deria dengan aroma truffle yang halus dan keju lembut yang kaya. Walaupun kaya rasa, ia tetap ringan dan mudah dinikmati, membuktikan kepakaran chef dalam mengimbangi tekstur dan rasa.
Selain pizza utama, setiap meja turut menerima pocket pizzas sebagai bonus untuk mencuba lebih banyak rasa. Kombinasi seperti Margherita + Pepperoni alla Fiamma dan Special Arabic Pizza + Fettina di Pollo membolehkan pengunjung mencuba variasi klasik dan eksperimental tanpa berasa terlalu kenyang.

Tiada sesi tasting yang lengkap tanpa pencuci mulut. Di Pizzaiolo, Original Tiramisu menjadi hidangan wajib teksturnya lembut, kopi yang kaya berpadu sempurna dengan manisan krim, meninggalkan rasa yang memuaskan pada setiap sudu. Selain itu, pilihan lain seperti Chocolate Dome, San Sebastian Cheesecake, Sleeping Teddy, dan Russian Roulette menawarkan pengalaman pencuci mulut yang kreatif dan inovatif.
Pastri segar juga menjadi tarikan, termasuk Croissant dengan Beef Bacon, White Chocolate Custard Croissant, Portuguese Egg Tart, serta pelbagai manisan lain yang dipanggang setiap hari. Kombinasi pizza, pocket pizzas, pencuci mulut, dan pastri ini memastikan pengalaman media tasting bukan sahaja lengkap tetapi juga memanjakan deria dari awal hingga penutup.
Pemilik bersama, Aniq Danial Johari, berkongsi bahawa latar belakang keluarga mereka yang mahir memasak memberi inspirasi untuk membuka Pizzaiolo. “Dari kecil, semua ahli keluarga tahu memasak. Jadi, kita tidak bergantung kepada pihak luar,” jelas beliau.
Resipi Pizzaiolo dibangunkan dengan teliti; proses persiapan mengambil masa sebulan atau dua bulan sebelum kedai dibuka. Selepas operasi bermula, resipi sentiasa diperbaiki berdasarkan maklum balas pelanggan.
Salah satu keistimewaan unik Pizzaiolo adalah penggunaan kayu pokok manggis untuk oven kayu Api. Berbeza daripada kayu bakau biasa, kayu manggis menghasilkan aroma unik yang menyerap ke dalam pizza, memberikan rasa dan bau yang lebih tahan lama dan membezakan pizza mereka daripada yang lain.
Chef di Pizzaiolo mempunyai pengalaman luas, termasuk pernah membuat pizza di Bukit Bintang. Semua adunan pizza dibuat secara in-house, dari doh klasik hingga doh inovatif, memastikan konsistensi dan kualiti tinggi pada setiap hidangan.
Dengan lebih daripada 10 jenis pizza ditawarkan, beberapa menjadi kegemaran pelanggan tetap, terutama Pepperoni alla Fiamma dan Chicken Pesto, yang juga menjadi hidangan utama sesi media tasting. Pocket pizzas turut diperkenalkan sebagai alternatif bersaiz kecil dan harga lebih rendah, membolehkan pengunjung merasai pelbagai jenis pizza dalam satu sesi.

Pizzaiolo boleh menampung sehingga 40–60 pengunjung dalam satu sesi. Konsep dalaman yang minimalis dan seolah oleh berada di restoran pizza klasik Itali, serta pencahayaan hangat, menekankan suasana santai namun moden.
Selain pizza, restoran ini menekankan pencuci mulut in-house yang kreatif. Chef pencuci mulut, Ikmal, diberi kebebasan penuh untuk mencipta hidangan yang menarik dan selaras dengan tren semasa. Harga pencuci mulut bermula dari RM14, sementara pizza Margherita dijual sekitar RM19, dan pizza premium seperti Wagyu tidak melebihi RM54 untuk 100–250 gram daging import dari Australia.
Waktu operasi adalah dari 11 pagi hingga 3 pagi, menjadikan Pizzaiolo destinasi yang sesuai untuk makan tengah hari, makan malam, atau lepak lewat malam. Pelanggan juga boleh menikmati pizza kegemaran mereka melalui GrabFood dan ShopeeFood, atau mengambil sendiri untuk pengalaman takeaway.
Dengan pizza bestseller seperti Pepperoni alla Fiamma dan Chicken Pesto, serta empat pizza utama lain yang dihidangkan Grilled Chicken Pesto, Tuna, Chili & Seaweed, Buffalina Beef, Bianca Ala Tartufo Pizzaiolo Kuala Lumpur membuktikan bahawa pizza kayu api autentik boleh diadaptasi dengan kreativiti tempatan tanpa mengorbankan rasa asli.
Dari pizza premium dengan Wagyu hingga pencuci mulut inovatif dan pastri segar, setiap hidangan disediakan dengan dedikasi dan perhatian terhadap kualiti. Pizzaiolo bukan sekadar restoran pizza, tetapi destinasi gastronomi yang wajib dicuba di Kuala Lumpur, terutama bagi mereka yang menghargai pizza autentik dengan sentuhan moden dan inovatif.



