CYBERJAYA – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan bahawa pihaknya sedang menunggu keputusan penghakiman penuh daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sebelum mengemukakan rayuan rasmi terhadap tindakan disiplin yang dikenakan ke atas jabatan dan pemain warisan.
Menurut Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Hj Rahman, rayuan akan diajukan berdasarkan proses dan saluran undang-undang sedia ada setelah keputusan penuh diumumkan.
“FAM ingin memaklumkan bahawa kami telah mengenal pasti wujud kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen yang dilakukan oleh kakitangan pentadbiran. FAM mengambil serius perkara ini,” katanya dalam kenyataan rasmi di Facebook.
Tambahnya lagi, FAM juga mahu menegaskan bahawa para pemain warisan yang terlibat adalah rakyat Malaysia yang sah.
Mengikut kenyataan oleh pihak FIFA, FAM dan tujuh pemain warisan kebangsaan telah didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
Antara pemain yang dikenakan tindakan adalah:
-
Gabriel Felipe Arrocha
-
Facundo Tomas Garces
-
Rodrigo Holgado
-
Imanol Javier Machuca
-
Joao Vitor Brandao Figueiredo
-
Jon Irazabal Iraurgui
-
Hector Alejandro Hevel Serrano
FIFA mendakwa bahawa dokumen yang diserahkan oleh FAM bagi mengesahkan kelayakan pemain tersebut adalah palsu dan digunakan dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lepas. FAM kemudian dikenakan denda CHF 350,000 (kira-kira RM 1.8 juta), setiap pemain dikenakan denda CHF 2,000 (anggaran RM 10,560) manakala pemain warisan dikenakan penggantungan selama 12 bulan daripada semua aktiviti yang berkaitan bola sepak, berkuat kuasa sejak tarikh pemberitahuan keputusan tersebut



