In Depth Review – HONOR X9d 5G
HONOR sekali lagi membuktikan dominasi mereka dalam pasaran telefon pintar Malaysia dengan pelancaran rasmi HONOR X9d 5G. Sebagai peneraju dalam segmen kelas pertengahan premium, jenama ini kini menguasai 55% pasaran telefon pintar bernilai lebih RM1,200, sekaligus meletakkan mereka di kedudukan teratas bagi kategori paling kompetitif di Malaysia.
Siri X9 sudah lama menjadi pilihan utama rakyat Malaysia, malah model HONOR X9b sebelum ini telah dinobatkan sebagai telefon pintar pilihan nombor satu Malaysia selama dua tahun berturut-turut. Faktor utama kejayaan ini adalah gabungan antara reka bentuk premium, ketahanan fizikal, bateri yang tahan lama, serta perlindungan menyeluruh yang tidak ditawarkan oleh pesaing lain pada tahap yang sama.

Pelancaran HONOR X9d 5G menandakan satu lagi evolusi penting. Dengan peningkatan dari segi teknologi bateri, tahap ketahanan bertaraf industri, serta pelbagai ciri pintar berasaskan AI, peranti ini bukan sahaja mengukuhkan kedudukan HONOR dalam pasaran, malah memaksa pesaing untuk mengikut jejak langkah mereka.
HONOR X9d 5G menampilkan badan ultra-nipis setebal hanya 7.76mm dengan berat sekitar 193 gram, menjadikannya salah satu peranti paling ringan dalam kelasnya walaupun menempatkan bateri berkapasiti gergasi. Ini membuktikan kehebatan jurutera HONOR dalam menggabungkan reka bentuk moden dengan teknologi bateri silikon-karbon yang inovatif.
Empat pilihan warna premium Reddish Brown, Sunrise Gold, Forest Green dan Midnight Black memberikan gaya elegan yang sesuai untuk pelbagai personaliti pengguna. Sama ada seorang profesional, pelajar universiti, pekerja lapangan atau penggemar aktiviti lasak, HONOR X9d 5G hadir dengan estetika yang versatil.
HONOR X9d menetapkan piawaian baharu dalam industri apabila menjadi telefon pintar pertama menerima SGS Triple Resistant Premium Performance Certification, bukti bahawa ia benar-benar diuji dari segi tahan hentakan, kalis air dan perlindungan debu.
Teknologi Ultra-Bounce Anti-Drop 3.0 dengan rangka penyerap hentakan enam lapisan diinspirasikan daripada bahan kalis peluru. Digandingkan dengan Corning Gorilla Glass Victus 2 serta kaca ultra-deep tempered, ia meningkatkan kekuatan skrin sehingga 112% lebih kukuh berbanding X9c.

Lebih menakjubkan, telefon ini boleh menahan jatuhan dari 2.5 meter ke atas permukaan keras seperti batu granit, asfalt, atau cobblestone. Ini menjadikan HONOR X9d peranti yang benar-benar direka untuk dunia sebenar, di mana kemalangan seperti jatuh, terhempas atau terdedah kepada persekitaran kasar adalah lumrah harian.
HONOR X9d turut menjadi telefon pintar pertama dalam industri utama yang menyokong pensijilan IP69K, selain IP66 dan IP68. Ini bermakna ia bukan sekadar tahan percikan air, tetapi boleh menahan:
- Rendaman air sehingga enam meter,
- Semburan air panas bersuhu 85°C,
- 18 jenis cecair berbeza,
- Malah rendaman berterusan selama 30 hari pada kedalaman satu meter.
Bagi melengkapkan perlindungan ini, fungsi Drainage and Dust Removal membolehkan pengguna mengeluarkan sisa air atau habuk melalui getaran dan audio khas. Ditambah dengan AI Heavy Rain Touch dan AI Glove Touch, pengguna masih boleh mengendalikan skrin walaupun dalam hujan lebat atau ketika memakai sarung tangan.
Antara ciri paling mengagumkan HONOR X9d adalah bateri silikon-karbon 8,300mAh, yang kini menjadi kapasiti terbesar di dunia bagi telefon pintar setipis ini. Teknologi ini membolehkan bateri yang sangat besar dimuatkan ke dalam tubuh nipis tanpa mengorbankan reka bentuk.
Dengan sekali pengecasan, pengguna boleh menikmati:
- 52.5 jam penstriman muzik,
- 23.8 jam tontonan video,
- 16.8 jam sesi permainan mudah alih,
- 12.3 jam panggilan video berterusan.
Telefon ini juga menyokong 66W HONOR SuperCharge yang mampu mengisi tenaga dengan pantas, serta 7.5W pengecasan berbalik untuk menyalurkan kuasa kepada peranti lain. Malah, dalam mod Ultra Power Saving, telefon ini masih mampu membuat panggilan selama 60 minit dengan baki 2% bateri – ciri yang sangat berguna dalam kecemasan.
HONOR X9d menggunakan cipset Snapdragon 6 Gen 4 berasaskan teknologi 4nm, peningkatan daripada Snapdragon 6 Gen 1 pada X9c. Hasilnya ialah peningkatan 29% pada prestasi GPU dan 11% pada CPU, menjadikan peranti ini lebih responsif untuk permainan, multitasking dan aplikasi berat.
Dipasangkan dengan RAM 12GB (boleh dipertingkat ke 24GB dengan HONOR Turbo RAM) serta pilihan storan 256GB atau 512GB, pengguna tidak perlu risau tentang kekurangan ruang mahupun kelambatan sistem walaupun selepas bertahun-tahun penggunaan.
HONOR X9d menampilkan paparan OLED 6.79 inci dengan sokongan 120Hz, gamut warna DCI-P3, dan 1.07 bilion warna. Lebih hebat, ia kini mencapai 6000nits tahap kecerahan puncak, jauh mengatasi HONOR X9c yang hanya 4000nits.
Ini memastikan paparan sentiasa jelas, walaupun di bawah pancaran matahari terik. Teknologi Eye Comfort Display seperti 3840Hz PWM Dimming, AI Circadian Night Display, dan Dynamic Dimming turut memastikan pengalaman menonton lebih selesa dan mengurangkan keletihan mata.
Dari segi fotografi, HONOR X9d dilengkapi dengan kamera utama 108MP Ultra-Sensing yang digandingkan dengan apertur besar f/1.75. Sokongan OIS dan EIS memastikan gambar dan video lebih stabil, manakala teknologi pixel binning 9-dalam-1 membolehkan lebih banyak cahaya ditangkap, menghasilkan imej yang jelas walaupun dalam keadaan gelap.
Lebih menarik, HONOR turut menyertakan AI Editing Tools seperti AI Eraser, AI Cutout, AI Outpainting, AI Upscale dan AI Face Tune. Ciri-ciri ini membolehkan pengguna mengubah, memperbaiki dan memperindah foto terus dari telefon tanpa memerlukan perisian tambahan.

HONOR X9d bukan sahaja tahan lasak dari segi binaan, malah dilengkapi Triple Assurance Protection:
- 365 hari perlindungan retak depan & belakang,
- Perlindungan kerosakan cecair selama 1 tahun,
- Waranti tambahan setahun tanpa caj tambahan.
HONOR telahpun terkenal dengan kadar pembaikan skrin yang rendah dalam industri, namun dengan perlindungan tambahan ini, pengguna tidak perlu risau tentang kos pembaikan sekiranya berlaku kemalangan.
HONOR X9d 5G ditawarkan dalam dua pilihan varian di Malaysia:
- 24GB RAM (12GB + 12GB Turbo RAM) + 256GB storan pada harga RM1,499,
- 24GB RAM + 512GB storan pada harga RM1,699.
Kedua-dua varian mula dipasarkan hari ini di semua saluran rasmi HONOR Malaysia.
Salah satu faktor utama yang menjadikan siri HONOR X begitu berjaya di Malaysia adalah sikap jenama ini yang sentiasa mendengar rintihan dan maklum balas pengguna. Banyak ciri baharu pada HONOR X9d 5G sebenarnya lahir daripada permintaan komuniti.
Sebagai contoh, pengguna sebelum ini meminta skrin rata kerana ia lebih tahan lasak berbanding skrin melengkung dan HONOR merealisasikan permintaan tersebut dalam X9d. Begitu juga dengan peningkatan kepada bateri silikon-karbon 8,300mAh, lahir daripada keluhan pengguna yang mahu telefon dengan kuasa bateri luar biasa tanpa perlu kerap mengecas.
HONOR tidak sekadar membina telefon pintar, tetapi membina pengalaman pengguna yang sebenar. Dari segi ketahanan, prestasi hinggalah perlindungan selepas jualan, setiap langkah diambil dengan mengambil kira kegunaan harian dan keperluan sebenar masyarakat. Inilah sebabnya mengapa HONOR berjaya menjadi jenama yang dipercayai, sekali gus mengekalkan gelaran sebagai Telefon Pintar Pilihan Nombor Satu Malaysia.
HONOR X9d 5G bukan sekadar evolusi daripada X9c ia adalah lonjakan besar dari segi ketahanan, prestasi, dan kebolehpercayaan. Dengan bateri silikon-karbon 8,300mAh, pensijilan IP69K, serta pelbagai ciri AI pintar, ia menetapkan penanda aras baharu bagi telefon pintar kelas pertengahan.
Lebih penting lagi, kejayaan HONOR dalam menguasai 55% pasaran telefon pintar kelas pertengahan premium Malaysia membuktikan bahawa mereka benar-benar memahami keperluan pengguna: telefon pintar yang tahan lasak, bergaya, berkuasa dan berbaloi dimiliki.
Dengan harga kompetitif, reka bentuk elegan dan perlindungan selepas jualan yang menyeluruh, HONOR X9d 5G layak digelar sebagai telefon pintar paling praktikal dan berdaya tahan dalam pasaran Malaysia ketika ini – sekaligus mengukuhkan reputasi siri X sebagai Telefon Pintar Pilihan Nombor Satu Malaysia.



