UMNO Sabah desak Hajiji jawab Isu Video Jeffrey Kitingan

KOTA KINABALU,– UMNO Sabah menganggap pendedahan video yang mengaitkan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Jeffrey Kitingan bersama beberapa pemimpin kanan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dengan sogokan jutaan ringgit sebagai bukti jelas kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) beroperasi di atas “najis rasuah”.

Pengarah Komunikasi Strategik UMNO Sabah, Datu Rosman Datu Ahir Zaman, dalam kenyataan medianya menyifatkan perkara itu sebagai ‘pengkhianatan terbesar kepada rakyat Sabah’.

“Jika sebelum ini rakyat hanya mendengar bisikan, hari ini bukti sudah terhidang. Yang terbongkar bukan sekadar kelemahan seorang dua pemimpin, tetapi seluruh jentera GRS. Bak kata pepatah, ikan busuk bermula dari kepala, maka nyatalah kepala pentadbiran GRS itu sendiri sudah hancur,” katanya.

Beliau mendakwa, lebih memalukan apabila lesen perlombongan sumber asli milik rakyat Sabah dijadikan bahan dagangan dan digadai di meja makan restoran mewah di Kuala Lumpur.

Menurutnya, isu yang didedahkan bukan sekadar salah guna kuasa, tetapi satu bentuk pengkhianatan terang-terangan terhadap maruah rakyat dan negeri Sabah.

Rosman turut mempersoalkan tindakan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, yang didakwa memilih untuk terus berdiam diri meskipun nama besar GRS disebut secara terbuka.

“Bukankah pepatah Melayu mengingatkan, diam itu tanda setuju? Hajiji bersembunyi seperti tikus jatuh ke beras. Diamnya bukan kerana berani, tetapi kerana takut seluruh tembok politik GRS runtuh bersama-sama kepimpinannya,” katanya.

UMNO Sabah berpendapat rakyat kini jelas melihat kerajaan GRS tidak diperintah dengan dasar, visi atau keikhlasan perjuangan, sebaliknya hanya digerakkan oleh sogokan.

“Kesetiaan ADUN dibeli seperti barang pasar, projek dijadikan mata wang, lesen pula dijual beli untuk memastikan kuasa kekal dalam genggaman. Kuasa tanpa integriti hanyalah ilusi,” katanya.

Rosman menegaskan, GRS mungkin masih duduk di kerusi kuasa, namun sudah kehilangan maruah dan kelayakan moral untuk memimpin.

“Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Begitulah GRS hari ini. Mereka boleh menafikan, mereka boleh berlakon, tetapi kebenaran akhirnya pecah juga. GRS bukan lagi sebuah kerajaan, tetapi kartel politik paling busuk dalam sejarah Sabah,” ujarnya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat